Siakap Keli

Kajian Di Jepun Dapati Kucing Boleh Tahu Namanya Dipanggil, Tetapi Mungkin Kadang-Kadang Pilih Untuk Buat ‘Dek’ Sahaja

Kucing dikatakan berupaya untuk mengetahui namanya dipanggil, sama seperti anjing, menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik Jepun.

Penyelidikan yang dibuat kumpulan berkenaan bertujuan untuk melihat bagaimana reaksi kucing terhadap perkataan-perkataan yang diucapkan oleh manusia.

Selain itu, mereka juga mengkaji perbezaan reaksi kucing apabila namanya dipanggil atau apabila perkataan-perkataan lain disebut.

Penyelidik berkenaan juga memerhati perbezaan reaksi yang ditunjukkan oleh kucing apabila namanya dipanggil oleh tuannya serta orang asing.

Melalui penyelidikkan tersebut mereka mendapati bahawa kucing menunjukkan reaksi dengan menggerakkan telinga atau menggerakkan kepala walaupun tidak terlalu menunjukkan keterujaan seperti menggerakkan ekor atau mengiyau.

Selain itu, penyelidik juga berpendapat bahawa kucing memberi reaksi apabila namanya dipanggil kerana menyangka ia akan diberikan habuan seperti makanan atau bakal diberi ‘hukuman’ seperti dimandikan atau dibawa berjumpa veteriner.

Salah seorang penyelidik, Atsuko Saito daripada Universiti Tokyo berkata, penyelidikan yang diterbitkan dalam Scientific Reports boleh digunakan untuk memperbaiki kualiti hidup kucing peliharaan di masa depan.

Antaranya Atsuko memberitahu manusia mungkin boleh menggunakan perkataan tertentu untuk mengajar kucing mengenai objek atau lokasi berbahaya.

Jadi, mungkin selama ini kucing anda mendengar dan memahami namanya disebut, tetapi memilih untuk buat ‘dek’ sahaja.

Sumber: Metro UK

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.