Siakap Keli

Jutawan Perancis Berikrar Mahu Derma 100 Juta Euro Untuk Baik Pulih Gereja Notre Dame Yang Terbakar

Seorang jutawan dari Perancis yang bernama François-Henri Pinault telah berjanji untuk menyalurkan 100 juta euro bersama-sama dengan bapanya bagi membantu membaik pulih Gereja Notre Dame yang rosak akibat kebakaran yang berlaku pada petang semalam.

“Bapa saya [François Pinault] dan saya sendiri telah membuat keputusan untuk turut serta menyumbang dalam usaha membaik pulih gereja Notre Dame dengan menderma sebanyak 100 juta euro,” Ujar Pinault.

Pinault merupakan seorang pemilik syarikat kumpulan jenama mewah Keris yang beroperasi di Paris. Antara jenama-jenama mewah yang diuruskan syarikatnya itu ialah Gucci, Saint Laurent, Alexander McQueen dan banyak lagi. Selain dari itu, beliau juga seorang suami kepada pelakon Hollywood yang bernama Salma Hayek.

Kebakaran tersebut bermula pada kira-kira 1700 GMT waktu tempatan, dan pihak berkuasa menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan tiada unsur-unsur jenayah yang dapat dikesan dalam kejadian itu. Kebakaran itu telah memusnahkan puncak menara Katedral yang setinggi 300 kaki dan telah memusnahkan sebahagian besar bumbung gereja yang diperbuat daripada kayu itu.

Presiden Perancis Emmanuel Macron menyatakan bahawa Katedral itu akan dibina semula dan turut mengumumkan bahawa beliau akan memperkenalkan kempen pengumpulan dana kebangsaan bagi membiayai usaha tersebut.

“Kita akan bina semula,” kata Macron. “Kita akan membina semula Notre Dame kerana ianya adalah apa yang rakyat Perancis harapkan, kerana ianya adalah salah satu tanda sejarah kita, kerana ianya merupakan takdir kita.

Sumber: Washington Examiner

Aqmal Ezany

I write what is right