Siakap Keli

Sukar Kenali Wajah Orang, Anda Mungkin Salah Seorang Pesakit Buta Wajah

Sylvia Tippmann, wanita berusia 29 tahun menghadapi masalah yang sama sepanjang hidupnya apabila dia akan berasa sangsi setiap kali ada sesiapa yang menegurnya. Dia akan teragak-agak untuk berbual dan suasana menjadi jangal kerana dirinya tidak mengenali sesiapa yang menegurnya termasuklah jiranya yang telah menetap selama 8 tahun disebelah rumahnya.

Secara ringkas, penyakit buta wajah ini ialah keadaan dimana manusia tidak dapat mengenalpasti wajah seseorang. Ada sesetengah kes, pesakit sendiri tidak mampu mengenali dan mengingati wajah mereka sendiri. Sebagaimana penghidap disleksia yang mengalami kesukaran membaca huruf, penghidap buta wajah tidak mampu ‘membaca’ wajah orang di sekitarnya.

Penyakit ini agak taboo dalam masyarakat kita. Menurut Janek Lobmaier ahli psikologi dari Universiti Bern, Swiss, majoriti penghidap penyakit ini bermula sejak lahir. Namun, dalam situasi yang jarang-jarang berlaku, pesakit menerima penyakit buta wajah selepas mengalami kemalangan sehingga mengganggu sesetengah bahagian otak. Penyakit buta wajah juga mampu menyerang anak-anak autism yang membuatkan mereka tidak mampu untuk berinteraksi dengan orang sekeliling.

PUNCA BUTA WAJAH

Keadaan neurologi otak manusia yang sangat ‘complex’ menyebabkan penyakit ini masih belum difahami sepenuhnya. Ada satu teori yang menyebut bahawa keadaan ini merupakan suatu kelainan, kerosakan, atau gangguan pada bahagian tertentu otak. Ini melibatkan bahagian otak yang menyelaraskan sistem saraf yang mengawal persepsi wajah dan memori. Kajian mendapati bahawa otak memproses gambar wajah dengan cara yang berbeza berbanding ketika ia memproses gambar objek lainnya.

KESAN BUTA WAJAH

Kesan kepada penghidap bergantung kepada tahap penyakit yang dihidapi bermula dari sederhana hingga keadaan yang teruk. Mereka yang menghidapi masalah buta wajah akan menjauhi situasi atau keadaan yang memerlukan mereka berinteraksi dengan orang lain. Mereka lebih gemar untuk menyendiri dan melakukan aktiviti secara individu.

Sesetengah pesakit akan mengalami kemurungan berikutan rasa tidak yakin untuk memulakan perbualan. Mereka akan sentiasa keresahan sosial (Social Anxiety Disorder) yang turut mengganggu aktiviti seharian mereka. Jika tidak dirawat dengan segera, masalah kemurungan mereka boleh menyebabkan mereka mencederakan diri mereka sendiri.

Selain tidak mampu untuk mengenali wajah orang sekeliling, mereka yang buta wajah juga turut terkesan untuk mengenal pasti objek, seperti tempat dan kereta. Ada juga mereka yang buta wajah serius tidak mampu untuk memandu arah di jalanraya. Ini boleh melibatkan ketidakupayaan untuk memproses sudut atau jarak, atau masalah mengingati tempat dan mercu tanda.

Kesan lain kepada penghidap penyakit buta wajah ialah sukar untuk mereka mengikuti plot filem atau rancangan televisyen berikutan mereka tidak dapat mengenalpasti setiap watak. Mereka juga tidak mampu untuk menonton teater kerana menghadapi masalah yang sama.

MENANGANI PENYAKIT BUTA WAJAH

Memandangkan punca sebenar penyakit buta wajah masih lagi belum dikenalpasti, cara untuk menangani penyakit ini juga masih belum diketahui dan doktor sendiri tidak merawat pesakit dengan cara yang khusus. Walaubagimanapun, pesakit mempunyai cara untuk tersendiri untuk mengenalpasti individu iaitu dengan melihat cara berjalan, gaya rambut, pakaian, bau minyak wangi dan cara berjalan.

Jika salah satu cara pengenalan mereka kepada orang lain berubah, mereka akan mengalami kesukaran untuk mengenalpasti semula. Begitu juga jika mereka perlu mengenalpasti individu dalam perekitaran yang sama iaitu seperti pakaian sekolah.

Dalam tumbesaran individu yang menghidapi penyakit ini, mereka akan memilih kerjaya yang tidak membuatkan mereka perlu berinteraksi dengan orang lain dan mengelakan mereka berada dalam situasi mencabar. Mereka juga akan menjauhkan diri dengan kawan-kawan di pejabat dan memilih untuk tidak berbincang secara berkumpulan.

Secara kesimpulan, mereka membesar dalam keadaan menyalahkan diri mereka sendiri dengan menyangka bahawa mereka kurang perhatian dan mempunyai daya ingatan yang lemah. Malangnya, tafsiran ini diperkukuhkan dengan keadaan dimana ia dipersetujui oleh ibu bapa dan guru yang tidak mengetahui kondisi sebenar anak mereka. Sedangkan, penyakit buta wajah ini tidak sesekali berkaitan dengan masalah ingatan, daya pemerhatian dan kebijaksanaan seseorang individu.

Sumber: Helo Doktor

Nur Shuhada Ahmad

part-time manusia