Siakap Keli

“Kita Sekarang Bukan Atasi Masalah Kemiskinan Tapi Atasi Masalah Kos Sara Hidup” – Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah

Saban hari keperluan isi rumah semakin terbatas berikutan pendapatan bulanan yang tidak seiring dengan barangan keperluan harian.

Memetik Bernama, kos sara hidup yang dirasakan tinggi adalah akibat kemampuan isi rumah di negara ini berbelanja agak terbatas, kata Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid.

“Harga barang itu memang meningkat saban tahun, sepanjang pengalaman saya sendiri jarang lah ada harga barang turun malah tidak akan boleh dikawal. Tetapi kenaikkan harga barang itu masih stabil buat masa ini apa jadi masalah ialah pasaran buruh kita dengan gaji rendah dan kebergantungan pekerja asing.

“Kita sekarang menuju ke arah negara pendapatan tinggi, masalah kita sekarang bukan atasi masalah kemiskinan tetapi atasi masalah kos sara hidup. Jika tiada apa-apa dilakukan dikhuatiri pada jangka masa panjang trend pertumbuhan tidak stabil, kaya jadi semakin kaya yang miskin jadi semakin miskin,” katanya di sini hari ini.

Zakariah berkata walaupun paras pendapatan isi rumah rendah, ia dilihat meningkat apabila purata pendapatan bulanan rakyat di negara ini adalah pada RM5,228 pada tahun 2016 berbanding RM4,585 pada tahun 2014.

Beliau berkata pada tahun 2016 purata pendapatan bulanan rakyat kumpulan B40 adalah pada RM2,848; kumpulan M40 (RM6,502) dan kumpulan T20 (RM16,088).

Katanya kawalan terhadap harga barang adalah sebuah mekanisma yang kurang efektif bagi mengawal kenaikkan kos sara hidup kerana harga barang dikawal oleh banyak faktor ketentuan terutama pengeluaran dan permintaan, selain faktor dari negara luar yang sukar dikawal oleh negara ini.

Beliau berkata kawalan terhadap harga barang perlu dilihat daripada dua sudut yang berbeza iaitu sudut rakyat atau pengguna, dan sudut punca pendapatan mereka yang terlibat dalam penghasilan serta perniagaan barangan itu.

— BERNAMA

Nur Farra