Siakap Keli

Dari Pengawal Peribadi Kepada Permaisuri Selepas Mengahwini Raja Thailand

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Bagaikan cerita dongeng, seorang pengawal peribadi diraja kini bergelar permaisuri setelah berkahwin dengan seorang pewaris takhta.

Raja Maha Vajiralongkorn, 66 yang mewarisi takhta sejak 2016 selepas kemangkatan ayahnya mengambil keputusan untuk memperisterikan Jeneral Suthida Vajiralongkorn Na Ayudhya, 40 beberapa hari sebelum majlis pertabalan diraja pada Sabtu ini.

Gambar: Reuters

Suthida sebelum ini bekerja sebagai pramugari Thai Airways di mana perkenalannya dengan Raja Vajiralongkorn bermula. Pada 2014, dia dilantik oleh raja tersebut untuk menyertai pasukan pengawal istana dan menjadi timbalan komander unit keselamatan raja.

Raja Vajiralongkorn dan Suthida di satu majlis upacara rasmi. (Gambar: Rungroj Yongrit)

Disember 2016, wanita tersebut dinaikkan pangkat menjadi jeneral dalam Tentera Diraja Thailand sebelum dijadikan timbalan komander pengawal peribadi raja pada tahun berikutnya. Suthida turut diberi gelaran Than Phu Ying yang membawa maksud ‘wanita bangsawan’, gelaran tertinggi diberi kepada wanita bukan kerabat diraja.

Raja Vajiralongkorn sebelum ini pernah berkahwin dan bercerai sebanyak tiga kali serta mempunyai tujuh  orang anak hasil perkahwinannya yang lepas.

Majlis pertabalan tersebut akan berlangsung Sabtu ini selama tiga hari yang merangkumi hari perkabungan mendiang bapa kepada Raja Vajiralongkorn, Raja Bhumibol Adulyadej, diikuti pertabalan rasmi raja yang baru.

Sumber: BBC, TIME, NDTV, The Guardian

Amira

Love yourself.