Siakap Keli

“Rakaman Pengumuman Dibuat Dalam Dua Situasi,” Ini Sejarah ‘Cerap’ Anak Bulan Yang Ramai Tak Tahu

Tarikh untuk melihat atau mencerap Anak Bulan Ramadhan telah ditentukan tarikhnya pada lewat petang hari Ahad, 5 Mei 2019 bersamaan dengan 29 Syaaban 1440 hijrah.

Namun, tahukah kita selama ini apakah sejarah disebalik pengumuman yang biasa kita lihat di kaca televisyen?

Bagaimanakah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malayasia membuat keputusan sebelum mengisytiharkan tarikh permulaan puasa? Mari baca perkongsian dibawah di ambil daripada portal rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Latar Belakang

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat Kali Yang Ke-92 pada 15 dan 16 Mac 1972 telah bersetuju supaya penetapan tarikh permulaan Puasa, Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Hari Raya Haji (Aidiladha) meliputi seluruh Malaysia. Sebelum tahun 1972 urusan penetapan Puasa, Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Hari Raya Haji (Aidiladha) adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.

Cerapan (melihat) anak bulan pertama kali dilakukan bagi menetapkan permulaan puasa seluruh Malaysia dibuat pada 29 Syaaban 1392 bersamaan 7 Oktober 1972 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Bermula saat itu, pengisytiharan permulaan puasa, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui Radio dan Televisyen setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Kaedah Penetapan

Kaedah yang digunakan bagi menetapkan permulaan puasa (Awal Ramadhan), Hari Raya Puasa (Aidilfitri) dan Hari Raya Haji (AidilAdha) di Malaysia adalah berdasarkan “Rukyah” (Cerapan Hilal) dan “Hisab” (kiraan).

Rukyah ditentukan melalui pencerapan di kesemua 29 tempat yang disenaraikan Tempat-Tempat Cerapan Hilal (Melihat Anak Bulan Semenjak 1972 Hingga Sekarang). Laporan daripada pegawai pencerapan meliputi fakta waktu mencerap dan keadaan cuaca ketika mencerap.

Hisab ditentukan oleh ahli falak dari JAKIM mengikut kriteria ketetapan Imkanur-Rukyah, iaitu kebolehnampakan hilal atau anak bulan yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja. Kriteria tersebut berdasarkan persetujuan bersama oleh anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali Ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan.

Kaedah Pengumuman Tarikh-tarikh Puasa dan Raya

Mesyuarat diadakan antara Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dengan pihak JAKIM (Bahagian Falak) dan pihak RTM untuk memastikan tindakan seperlunya, termasuk penentuan bahawa bekalan elektrik dan perkhidmatan telekom tidak tergendala pada waktu pencerapan dan untuk urusan pengumuman.

Rakaman pengumuman dibuat dalam dua situasi, iaitu mengandaikan (i) anak bulan kelihatan dan (ii) tidak kelihatan yakni samada Syaaban dan Ramadan berjumlah 29 atau 30 hari.

Urusetia diwujudkan di Pejabat bersama pegawai RTM yang bertanggungjawab dan ahli falak dari JAKIM. Laporan-laporan diterima dari semua pusat pencerapan. Apabila selesai, laporan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.

Sebaik sahaja titah perkenan disambut, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memberitahu pegawai RTM di Urusetia untuk beliau mengarahkan pengumuman yang bertepatan dilakukan. Biasanya semua tindakan tersebut dapat disempurnakan sebelum jam 8 malam dan oleh itu, upaya diumumkan pada waktu berita RTM.Sila lihat PERIHAL PENENTUAN AWAL RAMADAN 1438H/2017 DI MALAYSIA / KRITERIA IMKANUR RUKYAH / USIA HILAL

Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Helmi

"Write every day even if it is just a paragraph"