Siakap Keli

Suka Berjaga Setiap Malam? Ini Yang Akan Berlaku Jika Anda Tak Tidur Selama 72 Jam

Setiap orang memerlukan tempoh masa yang berlainan untuk tidur. Ada yang boleh tidur hanya 3 jam sehari, ada yang memerlukan sekurang-kurangnya 6 jam waktu tidur untuk berfungsi dengan baik pada hari seterusnya.

Namun begitu, kekurangan masa tidur akan menyebabkan fungsi tubuh terganggu. Tahukah anda, insomnia boleh membawa kematian? Fatal familial insomnia merupakan salah satu dari penyakit genetik jarang jumpa yang disebabkan kegagalan pesakit untuk tidur dalam jangka masa panjang.

Mari kita telusuri kronologi kesan yang anda akan lalui jika tidak mendapat tidur yang cukup.

(Gambar: Google)

Hari pertama

Anda akan berasa positif dan ceria. Bahkan, anda juga mungkin jadi mudah terhibur dan ketawa pada perkara yang tidak kelakar. Mungkin kedengaran pelik, tetapi hal ini berlaku disebabkan peningkatan hormon dopamin yang dirembeskan bagi mengimbangi kemampuan tubuh anda setelah kekurangan tidur. Namun lama kelamaan, anda akan berasa semakin penat, tidak dapat fokus dan menjadi impulsif.

Hari kedua

Fungsi badan anda mula terjejas. Antaranya ialah kemampuan metabolisme badan untuk memproses glukosa akan terjejas. Kesannya, badan anda akan kekurangan tenaga, membuatkan anda lesu dan tidak bermaya. Bukan itu sahaja, daya tahan tubuh badan anda juga akan berkurangan menyebabkan anda lebih mudah jatuh sakit. Dalam fasa inilah micro sleep sering berlaku, di samping pertimbangan dan percakapan anda akan terjejas.

Hari ketiga

Anda mula berhalusinasi. Halusinasi tersebut mungkin bersifat auditori ataupun visual. Hal ini disebabkan masalah ‘REM sleep’ yang terganggu. REM sleep merupakan fasa ketika anda tidur, tetapi otak anda masih aktif bekerja – fasa mimpi berlaku.

Halusinasi visual. (Gambar: Psychologenie)

Apabila melepasi tempoh 72 jam, anda tidak dapat berfungsi dan berkomunikasi dengan baik. Emosi anda juga akan terganggu. Dalam satu kajian pada tahun 2010, penyelidik mendapati mereka yang tidak tidur selama 30 jam akan mengalami kesukaran mengenali ekspresi wajah, membuatkan mereka tidak mampu mengenalpasti emosi orang lain.

Berapa lama manusia boleh bertahan tanpa tidur?

Berdasarkan kajian, manusia dapat bertahan maksima 264 jam iaitu bersamaan 11 hari. Setelah tempoh itu, badan akan berhenti berfungsi atau dalam kata lain, mati. Walaupun kematian disebabkan kurang tidur jarang berlaku, ianya boleh berlaku disebabkan komplikasi yang berlanjutan.

Susah tidur? Cuba lakukan tips ini

  • Pastikan tempat tidur bersih
  • Mandi air suam sebelum tidur
  • Hentikan penggunaan gajet yang memancarkan cahaya biru 2 jam sebelum tidur
  • Letak pewangi lavender. Lavender dapat memberi kesan tenang secara semulajadi
  • Minum teh chamomile atau susu
  • Dengar muzik menenangkan untuk tidur di Youtube
Teh chamomile dapat meningkatkan kualiti tidur seseorang. (Gambar: Healthline)

Sumber: Healthline, Bright Side

Amira

Love yourself.