Siakap Keli

”Ia Menyakitkan Kami Sekeluarga, Berhentilah…”, Adik Arwah Siti Kharina Minta Netizen Berhenti Sebar Cerita Tak Benar

Setelah seminggu hilang dan gagal dihubungi keluarga dan majikan, akhirnya Siti Kharina ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Mangsa ditemui dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala apabila pemilik rumah sewanya menemui kesan darah yang mengalir dari bawah pintu rumah sewa tersebut. Berikutan itu, tiga orang suspek warga asing telah berjaya ditahan di lokasi yang berbeza.

Jenazah mangsa dikebumikan di kampungnya selepas waktu berbuka semalam. (Gambar: Bernama)

Belum pun kes selesai disiasat, sudah ramai warga maya yang memberi komen-komen spekulatif di media sosial. HalĀ ini pastinya memberi kesan mendalam kepada keluarga mangsa dan rakan-rakan terdekatnya. Semalam, adik mangsa, Khairani Kamarudin berkongsi kekesalan atas spekulasi yang ditimbulkan oleh warga maya berikutan kes tersebut.

Dalam kiriman tersebut, Khairani berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pencarian kakaknya di samping meminta kemaafan bagi pihak arwah serta tampil menawarkan diri menyelesaikan hutang jika ada.

Assalamualaikum….
Terima kasih polis diraja Malaysia
Terima kasih rakyat Malaysia dan
Terima kasih keluarga dan sahabat handai

Tanpa bantuan anda semua pasti misteri kehilangan kakak saya Siti Kharina sukar dirungkai… alhamdulillah jenazahnya telah selamat dikebumikan selepas waktu berbuka tadi… Saya harap tidak ada yang akan bertanya tentang kes ini kerana ianya diklasifikasikan sebagai kes jenayah dan saya dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang komen.

Saya mohon maaf setulusnya atas segala salah silap dari kami sekeluarga sepanjang tempoh pencarian ini dimana mungkin kami ada membuat mana2 pihak berkecil hati.. Jutaan maaf juga saya pinta bagi pihak arwah Siti Kharina jika arwah ada menyakitkan hati sesiapa. Mohon dihalalkan segala makan dan minumnya. Jika arwah ada hutang boleh hubungi saya.

Pada pihak-pihak yang menyebarkan cerita/berita yang tidak benar, berhentilah! Ianya sangat menyakitkan buat kami sekeluarga…

Kami sekeluarga tidak akan mampu membalas segala jasa baik, pertolongan, sokongan, doa dan apa sahaja bentuk bantuan yang anda semua hulurkan. Lebih menyentuh hati apabila kita tidak saling mengenali dan anda tidak mengharapkan sebarang balasan… Saya doakan anda semua diberi balasan sebaik-baiknya oleh Allah s.w.t

Aameen…

Mangsa meninggalkan suami dan tiga orang anak, masing-masing berusia 14 dan sepasang kembar berusia 10 tahun. (Gambar: Bernama)

Hentikanlah sebarkan spekulasi yang tidak membawa faedah ini. Jika salah, jadi fitnah, jika benar, jadi umpatan. Apa manfaat yang kita dapat? Hanya mendatangkan dosa dan memudaratkan keluarga mangsa. Bagaimana kita mahu minta maaf kepada mangsa yang sudah tiada?

Bayangkanlah jika ahli keluarga anda yang meninggal diumpat di kala dirinya tidak boleh menjelaskan situasi. Apa anda rasa?

Sumber: Kharani Kamarudin

Amira

Love yourself.