Siakap Keli

30 Peniaga Masjid India Berputih Mata, Bazar Terbakar

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) — Berbaki dua minggu sahaja lagi untuk menyambut kedatangan Syawal, nasib tidak menyebelahi 30 peniaga apabila gerai perniagaan mereka musnah dalam kebakaran di hadapan Wisma Yakin, Masjid India, di sini, awal hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur L. Logeswaran berkata pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 1.35 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 1.45 pagi.

Operasi memadam kebakaran melibatkan anggota dari balai Sentul, Hang Tuah, Titiwangsa serta bantuan dari Pudu.

“Tiga puluh unit gerai yang antaranya menjual pakaian, beg dan kasut terbakar sepenuhnya dan kami dapat padamkan api sepenuhnya pada pukul 2.04 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Gerai-gerai di hadapan Wisma Yakin itu adalah antara yang menjadi tumpuan pengunjung menjelang Aidilfitri bagi membeli barang keperluan untuk sambutan Hari Raya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim