Siakap Keli
Gambar Hiasan

“Anak Meninggal Dalam Perut 5 Hari Sebelum Raya,” Ibu Ini Terkenang Kembali Kisah Sedih Bulan Ramadan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Perasan atau tidak baru-baru ini Hanis Zalikha ada memuatnaikkan pengalaman mengenai hamil ketika bulan Ramadan di mana bayi dalam kandungannya mengeras dan membimbangkan pasangan tersebut. Lalu, suaminya terus menyuruh untuk berbuka puasa.

Berikutan dengan perkongsian oleh pasangan selebriti tersebut, ramai yang berkongsi cerita pengalaman masing-masing. Salah satu komen daripada Raznida Ammar Aikha menarik perhatian ramai.

Perkongsian wanita ini sangat menyentuh hati di mana anak kedua yang dikandungnya selama 38 minggu sudah meninggal dunia, lima hari sebelum raya.

Menurut Raznida, sehari sebelum kejadian, dia ada berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan harian dan untuk lakukan beberapa kali imbasan, kelihatan bayi tersebut dalam keadaan yang sihat.

“Doktor nak induce saya pada hari Sabtu sebab saya ada kencing manis, jadi doktor nak saya bersalin pada 38 minggu supaya tidak berlaku apa-apa masalah kepada anak. Bila hari Khamis, bayi tak gerak tetapi mengeras dari pagi. Masa itu, saya berpuasa dan berfikir mungkin sebab berpuasa, anak tidak gerak.”

Selepas berbuka, keadaan bayi dalam perut tetap tidak bergerak. Hanya mengeras sahaja, terus pergi jumpa doktor untuk mendapat rawatan.

Pada awalnya hanya jururawat sahaja melakukan imbasan dan berkata kemungkinan Raznida ada tanda awal untuk bersalin tetapi tidak mengalami apa-apa kesakitan.

“Sebenarnya waktu jururawat yang ambil alih, saya dah tahu bayi dalam kandungan dah tak ada, cuma jururawat nak sedapkan hati saya, suruh tunggu doktor untuk pengesahan”, kata Raznida.

“Doktor sahkan bayi sudah tiada. Sebab saya sendiri pun tak dengar degupan jantung bayi. Namun tiada perubahan langsung tentang pembukaan, hanya terbuka 1 cm sahaja. Tepat pukul 1 pagi, saya dimasukkan ke dalam bilik bersalin.”

Dalam tempoh keberadaan dia dalam bilik bersalin tersebut, ada cecair yang keluar namun itu bukan air ketuban. Ia berwarna hijau.

“Bila saja air itu keluar, saya terus rasa sakit perut. Para jururawat terus selok untuk keluarkan air tersebut. Doktor beritahu saya, bayi sudah termakan najis semasa dalam perut. Selama 6 jam berada dalam bilik tersebut, akhirnya masa yang ditunggu-tunggu telah tiba walaupun sudah tahu keadaan bayi tersebut sudah tidak bernyawa.”

Menurutnya, dia tidak mempunyai kudrat yang kuat untuk meneran keluar bayi tersebut, dengan bantuan para jururawat di hospital tersebut, bayi dapat dikeluarkan secara normal.

“Setelah bayi tersebut dibersihkan, saya peluk seeratnya walaupun kulit bayi saya seperti merepuh, Senang cakap macam kulit direndam air panas. Jururawat cakap mungkin anak saya meninggal satu hari dalam perut.”

Kepada ibu yang tengah hamil di bulan Ramadan agar berhati-hati dan segera berjumpa doktor untuk perkara yang tidak diingini berlaku. Menurutnya lagi, kiraan pergerakan bayi sangat penting.

Semoga anak syurga tunggu saya di Sana.

Sumber: Raznida Ammar Aikha 

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang