Siakap Keli

Bila Tengok Orang Menguap Mesti Korang Pun Berjangkit, Ini Penjelasannya

Pasti anda pernah mengalami situasi ‘terjangkit’ rasa mengantuk dari orang sekeliling anda. Menariknya, perasaan tersebut juga boleh berjangkit secara tidak langsung jika anda melihat video orang menguap samada dengan suara atau tanpa suara.

Jika ingin tahu betul atau tidak, cuba tonton video di bawah dengan fokus.

https://www.youtube.com/watch?v=AJXX4vF6Zh0

Jadi bagaimana? Anda terjangkit atau tidak?

Dalam satu eksperimen, sekumpulan peserta diminta untuk menonton kompilasi video orang menguap samada sambil menahan keinginan menguap atau terus menguap tanpa membendung keinginan tersebut. Dengan menggunakan rangsangan magnetik transcranial (TMS), pengkaji menilai aktiviti otak peserta ketika eksperimen.

Seorang profesor kognitif neuropsikologi di Universiti Nottingham, Georgina Jackson berkata, majoriti mereka yang cuba menahan diri dari menguap akan lebih cenderung untuk menguap berbanding mereka yang relaks ketika menonton video tersebut.

Hubungan emosi dan empati

Franzen, Mader dan Winter (2018) mendapati terdapat perbezaan signifikan antara orang yang memiliki empati yang tinggi dengan tahap jangkitan menguap dengan orang sekeliling.

Dengan mengukur tahap empati subjek menggunakan Indeks Kereaktifan Interpersonal (IRI), para penyelidik mendapati mereka yang mempunyai empati yang tinggi lebih mudah terkesan apabila melihat seseorang menguap.

Kajian oleh Andrew Gallup, pembantu profesor psikologi di Institut Politeknik SUNY, New York mendakwa rasa empati memainkan peranan dalam menentukan tahap kebolehjangkitan menguap antara satu sama lain.

Seseorang individu akan lebih mudah terjangkit dan menguap apabila melihat orang dikenali menguap berbanding melihat individu asing yang melakukan perkara yang sama. Hal ini disebabkan hubungan emosi dan empati antara kedua-dua individu mempengaruhi tahap kebolehjangkitan menguap antara mereka.

Menariknya, haiwan seperti cimpanzi dan babun juga boleh mengalami fenomena ini, bahkan anjing peliharaan boleh terjangkit rasa ingin menguap daripada tuannya.

Gambar hiasan. (Gambar: American Kennel Club)

Kanak-kanak bawah 4 tahun dan memiliki autisme kurang terkesan dengan fenomena ini

Berdasarkan kajian dalam jurnal Child Development yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Connecticut, mereka mendapati kanak-kanak di bawah usia empat tahun dan kanak-kanak autisme kurang terkesan dengan fenomena ini.

Dalam kajian tersebut, mereka menjalankan ujian ke atas 120 orang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 1 hingga 6 tahun. Walaupun bayi boleh menguap secara spontan sejak dalam rahim, kebanyakan kanak-kanak tidak menunjukkan simptom menguap berjangkit sehingga mereka berusia 4 tahun.

Mereka juga menjalankan kajian ke atas 30 penghidap Gangguan Spektrum Autisme (ASD) berusia 6 hingga 15 tahun dan membandingkannya dengan kelompok sebaya yang tidak menghidap autisme. Kanak-kanak dengan ASD didapati kurang terkesan dengan jangkitan menguap berbanding rakan mereka yang lain.

Psikopath sukar terpengaruh

(Gambar: Google)

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Personaliti dan Perbezaan Individu oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Baylor, Texas, mereka mendapati individu yang lebih mementingkan diri kurang terkesan dengan jangkitan menguap.

Kajian ke atas seramai 135 pelajar yang mempunyai ciri-ciri Machiavellian egosentrisiti (kecenderungan untuk mementingkan keperluan peribadi berbanding orang lain) dan sifat memberontak mendapati mereka kurang kecenderungan untuk menguap disebabkan kurangnya empati.

Walaupun begitu, ini tidak semestinya bermaksud individu yang kurang kecenderungan terjangkit menguap merupakan seorang psikopath.

Walaubagaimanapun, para saintis masih dalam perbahasan dan giat menjalankan kajian untuk mengenalpasti punca yang menyebabkan jangkitan menguap ini berlaku.

Sumber: Live Science, National Geographic, Psychology Today, Psycnet, EurekAlert, Daily Mail

Amira

Love yourself.