Siakap Keli

Isu ‘Kon Merah’ : Polis Tahan Pemuda Pecah Cermin Kereta Semasa Kecoh Di Pasar Malam

Kota Bharu : Polis menahan seorang pemuda berusia 20an yang disyaki memecahkan cermin belakang sebuah kereta di samping menyebabkan ada bahagian kereta itu yang kemek, berdekatan Pasar Malam Parit Dalam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Abdul Rahim Daud berkata siasatan dilakukan sebaik pihaknya menerima laporan daripada pemilik kereta itu, seorang wanita berumur dalam lingkungan 40an, kira-kira pukul 11 malam tadi.

Beliau berkata daripada laporan diterima pihaknya, wanita berkenaan baharu keluar daripada sebuah pasaraya berdekatan pasar malam berkenaan dengan kereta jenis Toyota Camry yang sebelum itu diparkir di tingkat bawah.

“Ketika keluar daripada pasar raya berkenaan kira-kira pukul 10 malam, sudah ada ramai peniaga sehingga menyebabkan laluan menjadi sempit. Mungkin berlaku pergaduhan mulut antara wanita itu dengan peniaga di situ menyebabkan ada pihak yang melakukan provokasi sehingga tercetus perbalahan,” katanya ketika dihubungi sumber di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata berdasarkan rakaman video yang tular sejak malam tadi, wanita berkenaan dikatakan cuba menghalang sekumpulan lelaki dipercayai peniaga di situ daripada merosakkan cermin belakang keretanya, namun gagal, dan difahamkan, laluan di kawasan itu memang menjadi sempit apabila orang ramai mengambil peluang berniaga barangan persiapan menyambut Aidilfitri.

“Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan orang ramai diminta tidak mengambil tindakan sebarangan bagi mengelak kejadian lebih buruk daripada berlaku,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.