Siakap Keli
Foto: Bernama News Channel/FB Polis Diraja Malaysia

Tular Butang Baju Melayu Logo PDRM, Tindakan Undang-Undang Boleh Diambil Terhadap Peniaga

Kurang dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba, orang ramai kini masih sibuk membeli kelengkapan raya seperti pakaian dan kuih muih. Bukan sahaja pembeli, malah para penjual juga tidak melepaskan peluang untuk menjana pendapatan sempena musim perayaan ini.

Akan tetapi, dalam keghairahan mencari rezeki, ada dikalangan peniaga yang seolah-olah lupa menjaga etika berniaga sehingga menyentuh hal-hal sensitiviti pihak lain.

Antara yang sedang hangat ketika ini ialah mengenai penjualan butang baju Melayu yang menggunakan logo Polis Diraja Malaysia(PDRM). Penjualan butang baju Melayu tersebut telah tular sejak beberapa hari lepas di media sosial dan dijual secara atas talian.

Penggunaan logo PDRM padanya adalah satu kesalahan dan pihak polis menggesa peniaga untuk tidak menjualnya secara sebarangan dan terbuka. Ia bagi mengelakkan perlakuan jenayah seperti penyamaran berlaku.

Bukan sahaja butang baju Melayu ini, sebarang kelengkapan dan peralatan seragam PDRM juga turut dilarang untuk dijual secara terbuka kepada orang ramai.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, kelengkapandan peralatan PDRM hanya boleh dijual kepada pegawai polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, SUKSIS dan Kadet Polis dengan syarat mereka menunjukkan Kad Sijil Perlantikan.

Sekiranya terdapat peniaga yang masih lagi ingkar, tindakan undang-undang termasuk pembatalan permit perniagaan mungkin diambil terhadap mereka.

Sumber: FB Bernama News Channel

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi