Siakap Keli

‘Baby Nanas’ Jenama Dragon King Dari Thailand Tidak Dieksport Ke Malaysia

Kuala Lumpur : Buah baby nanas jenama Dragon King dari Thailand yang didakwa mengandungi siklamat, seperti yang tular di media sosial, tidak dieksport ke negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata ia berdasarkan semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dari tahun 2017 hingga kini.

“Isu sama juga pernah tular pada tahun 2017 dan menurut (badan penilai antarabangsa) Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA), siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30 hingga 50 kali ganda lebih daripada gula sukrosa. Peraturan-peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan penggunaannya dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah meningkatkan pemantauan buah nanas import di pintu masuk negara dari tahun 2017 hingga kini, yang sejumlah 65 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisis pelbagai parameter seperti bahan pemanis (termasuk siklamat), bahan pengawet dan residu pestisid. Kesemua sampel tersebut adalah mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM akan meneruskan pemantauan ke atas semua buah nanas di pintu masuk negara bagi memastikan ia mematuhi akta-akta itu, dan sekiranya ia gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

“Semua makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi akta-akta berkenaan dan menjadi tanggungjawab pihak terlibat untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan,” jelasnya.

Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual sebarang makanan yang diadukkan dengan apa-apa bahan penambahan yang tidak dibenarkan.

”Sesiapa yang melanggar peruntukan ini adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.