Siakap Keli

Kes Bayi 6 Bulan Maut, Bapa Tampar Bayi Mungkin Dilepaskan

Sabtu lalu, kita digemparkan dengan berita kematian seorang bayi berusia 6 bulan yang dipukul bapanya sendiri ketika pertengkaran bersama ibu mangsa di Kangar, Perlis. Dalam kejadian tersebut, wanita tersebut menyuruh suaminya untuk makan ubat bagi penyakit mental yang dihadapinya.

Berang dipaksa, suspek melepaskan kemarahan kepada bayi perempuannya dengan menampar mangsa. Susulan itu, ibu bayi berkenaan membawa mangsa bersama tiga lagi anaknya lari bagi mendapatkan bantuan daripada seorang rakan suspek di Arau pada Isnin kerana bimbang keselamatan mereka.

“Bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik pada 4 pagi semalam (28 Mei) namun tidak bernafas kira-kira 9.30 pagi hari sama. Pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang dihubungi tiba dilokasi kejadian memaklumkan bayi berkenaan telah meninggal dunia pada 3.24 petang,” kata Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohamad.

Namun, setelah bedah siasat, doktor mendapati tiada kecederaan atau pendarahan serius pada bayi berkenaan, membuatkan suspek mempunyai kemungkinan untuk dibebaskan.

“Polis tidak menolak kemungkinan bayi pasangan itu mempunyai sejarah penyakit yang tidak diketahui,” kata Noor Mushar.

Selain itu, doktor juga mengesahkan suspek tiada masalah penyakit mental seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Buat masa ini, polis masih menunggu laporan ujian deoksiribonukleik (DNA) pasangan itu daripada Jabatan Kimia.

Pasangan berkenaan telah berkahwin pada 2011 dan tidak mempunyai dokumen pendaftaran pernikahan. Di samping itu, ibu bayi terbabit yang merupakan warganegara Thailand dilaporkan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, membuatkannya mungkin ditahan di bawah Akta Imigresen 1963.

Suspek yang sebelum ini disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bakal direman sehingga 4 Jun depan.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.