Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Space Answers/Wired)

NASA Buka Pusat Angkasa Antarabangsa Untuk Pelancong Bermula Tahun Hadapan

Nama Stesen Angkasa Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai ISS mula mendapat perhatian rakyat negara ini apabila Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mencatat sejarah sebagai angkasawan pertama negara dengan menjalankan misi di sana pada Oktober 2007.

Selain menjadi ‘rumah’ kepada angkasawan dan kosmonauts tinggal semasa di angkasa, ISS juga digunapakai sebagai makmal kajian oleh NASA untuk menjalankan uji kaji mereka.

Foto: IG drsheikhmuszaphar

Akan tetapi, stesen yang mengorbit Bumi pada ketinggian purata 250 batu dengan kelajuan sekitar 17,500 mph ini memerlukan perbelanjaan yang sangat besar untuk diuruskan.

Atas sebab itu, NASA pada 7 Jun lepas telah mengumumkan bahawa mereka akan membuka ISS kepada mana-mana syarikat termasuk pelancongan angkasa bermula tahun hadapan bagi mengurangkan bebanan kos yang ditanggung.

Mereka yang berminat untuk menjadi pelancong angkasa di bawah program ini dikatakan perlu membayar sehingga $35,000(~RM145,200) satu malam untuk menginap di sana.

Menurut Timbalan Pengarah ISS, Robyn Gatens, hanya dua misi pelancongan angkasa akan dijalankan setiap tahun yang mana setiap satu daripadanya boleh berjalan selama sehingga 30 hari.

Sebelum ini, beberapa syarikat seperti SpaceX dan Boeing didakwa sudah memulakan usaha untuk membangunkan kapal angkasa bagi membawa pelancong angkasa untuk merasai sendiri pengalaman sebagai seorang angkasawan.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama pelancongan angkasa ke ISS berlaku. Pada tahun 2001, jutawan Amerika, Dennis Tito telah menjadi pelancong angkasa pertama selepas membayar $2o juta(~RM83 juta) kepada Rusia untuk ke stesen angkasa tersebut.

Sumber: Straits Times

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi