Siakap Keli
Gambar : Bernama

Mangsa Penipuan Wang Palsu Diminta Tampil Bantu Siasatan – Polis

Kemaman – Orang ramai terutama peniaga, dinasihatkan berhati-hati apabila melakukan urusan jual beli, selepas tular di laman sosial Facebook mengenai penggunaan duit palsu di daerah itu oleh seorang wanita menggunakan wang kertas RM100.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Mohd Haki Hasbullah berkata bagi mengelak perkara itu berterusan, mereka yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis.

“Peniaga yang menjadi mangsa ini berniaga di tepi jalan, dan kebanyakan tidak mempunyai mesin pengimbas ketulenan wang kertas. Kita percaya modus operandi suspek adalah untuk mengambil kesempatan, dan mendapatkan keuntungan dengan cara mudah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun mengalami kerugian, sehingga 10 malam ini, kebanyakan mangsa terlibat masih tidak membuat laporan polis.

Mohd Haki berkata pihak polis memandang serius terhadap kes melibatkan penggunaan wang palsu, dan beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Sebelum ini, tular mengenai beberapa peniaga dikunjungi seorang pelanggan wanita menaiki sebuah kereta Toyata Vios, yang menggunakan wang RM100 palsu, untuk membeli ayam goreng dan keropok dengan jumlah kecil, dan dipulangkan baki pembelian kira-kira RM90.

Peniaga yang kemudiannya menyedari menerima wang palsu, dikatakan bertindak mencari wanita terbabit sehingga ke Kijal, namun tidak berjaya menahannya.

Salah seorang peniaga dikenali sebagai Iskandar, bertindak memuat naik maklumat kejadian status tersebut di laman Facebook miliknya, dan turut menjadi viral di laman ‘Kemaman Tular’.

Insiden tersebut mendapat perhatian ramai dan dikatakan kejadian yang sama turut menimpa ramai peniaga, di daerah berkenaan.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.