Siakap Keli
Gambar: TheSundaily

Malaysia Belum Terima Permohonan Ekstradisi Zakir Naik – TPM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Kerajaan Malaysia belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan India untuk menghantar pulang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ke negara berkenaan.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada keperluan untuk kerajaan Malaysia berbuat demikian.

“Saya memang tanya juga (kepada perdana menteri) tapi setakat sekarang, pihak kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa permohonan daripada India untuk ekstradisi Dr Zakir Naik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India.

Dalam ucapannya pula, Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu di penempatan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang, yang kini berdepan kes kematian akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Beliau berkata ia termasuklah melihat kepada masalah infrastruktur dan pendidikan.

“Kita mesti tangani masalah infrastruktur, pentingnya untuk memberikan keperluan asas kepada mereka, masalah kesihatan juga harus diambil kira, begitu juga masalah punca sumber air dan kebersihan persekitaran,” katanya.

Rabu lepas, polis mengisytiharkan Perkampungan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang sebagai zon merah susulan kematian 14 penduduk di kampung itu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa