Siakap Keli
Gambar: liputan6.com

15 Cedera Gempa Bumi Di Timur Laut Jepun

TOKYO, 19 Jun (Bernama) — Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud yang melanda wilayah timur laut Jepun lewat Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera manakala ribuan lagi penduduk terpaksa berpindah, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana, sembilan mangsa yang cedera dilaporkan di wilayah paling teruk terjejas di Yamagata, empat di Niigata dan masing-masing satu di Miyagi dan Ishikawa.

Gegaran berlaku pada pukul 10.22 malam waktu tempatan pada kedalaman 14 km.

Pusat gempa terletak di Yamagata, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan, namun ditarik balik sejam kemudian, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Ribuan penduduk di bandar dan kawasan sekitar yang terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Selain itu, perkhidmatan kereta api Shinkansen ditangguhkan sementara waktu, menjejaskan kira-kira 10,000 penumpang. Perkhidmatan dijangka pulih pada Rabu.

Agensi cuaca meramalkan gegaran kemungkinan mencetuskan kejadian tanah runtuh dan boleh mengakibatkan rumah rosak.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa