Siakap Keli
Gambar Hiasan

Didik Anak Lelaki Buat Kerja Rumah Sejak Kecil, Jangan Anggap Wanita Sebagai Orang Suruhan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tanya pada diri anda sebagai ibu bapa yang prihatin adakah anak perempuan dan anak lelaki dilayan sama rata? Kesamarataan itu bukanlah bermaksud layanan daripada kasih sayang tetapi ia lebih kepada keadilan ibu bapa dalam mendidik anak melakukan tugasan di rumah.

Tambahan lagi, umur anak semakin meningkat, perbezaan jantina mula berlaku dengan jelas apabila anak perempuan lebih mudah disuruh daripada anak lelaki untuk melakukan kerja rumah. Mungkin ia dianggap sebagai adat. Itu yang menyebabkan hampir semua ibu bapa berusaha sebaik mungkin untuk mendidik anak perempuan mereka rajin di dapur.

Namun, secara tidak langsung kebanyakkan ibu bapa tidak menghiraukan anak lelaki tanpa ilmu menguruskan kerja rumah dan telah mewujudkan risiko lahirnya lelaki yang berperangai seperti ‘raja’ apabila meningkat dewasa kelak.

Apa yang kita lihat daripada gambar yang tular dari semalam menunjukkan kanak-kanak lelaki tidak pasti untuk menggambarkan tanggungjawabnya dan peranannya ketika menjawab soalan di sekolah.

Ini adalah pendapat daripada seorang jururawat Bel Nawhen di laman Facebooknya mengenai sekeping gambar yang tular di sosial media baru-baru ini. Mari kita baca supaya ianya bermanfaat kepada ibu bapa diluar sana.

Saya tidak mahu mempersoalkan apa tanggungjawab seorang lelaki seperti yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad tapi saya mahu seru ibu bapa untuk ajar anak memuliakan wanita dan tidak menganggap wanita seumpama orang suruhan semata-mata.

Didik anak lelaki dari usia kecil untuk bantu urus kerja rumahtangga dari sekecil-kecil membuang sampah hinggalah lain-lain kerja seperti;

  1. Basuh pinggan dan cawan selepas menggunakannya.
  2. Sidai baju atau lipat baju sendiri (pun sudah cukup) lepas tu boleh upgrade kepada tolong lipat baju yang lain-lain. Nanti dah besar dan ada rumahtangga, boleh bantu isteri untuk ini.

Contoh yang baik juga perlu ditunjukkan oleh si bapa supaya menjadi ‘role model’ terbaik kepada anak lelaki dan anak perempuan boleh lihat sebagai satu keadilan disana.

Ibu bapa juga tidak seharusnya berat sebelah sewaktu melayan kedua-dua anak lelaki dan perempuan. Setiap kerja rumah perlu adil diberikan supaya si anak tidak rasa seronoknya menjadi lelaki. Tidak ada istilah itu kerja perempuan, orang lelaki tak perlu tahu.

Jika mahu diikutkan, soalan begini untuk tahap pemikiran seorang murid 8 tahun adalah terlalu tinggi dan mereka menulis mengikut apa yang mereka faham dan apa yang mereka lihat sehari-hari. Jangan jadikan satu budaya merajakan lelaki dan menghambakan wanita. Jadikan rumahtangga itu lengkap tangga dan rumahnya kerana lelaki dan wanita saling melengkapi.

Isteri juga perlu mainkan peranan untuk tidak merajakan suami tapi menghormati suami sebagai ketua keluarga. Terkadang, ada juga suami yang lahir dikalangan keluarga yang memberikan pendedahan berkaitan urusan rumahtangga bersama tetapi isteri pula merasakan ia bukan satu kerjasama tetapi tugasan wajib seorang isteri. Lama kelamaan, suami menjadi terbiasa untuk tidak membantu isteri kerana telah dilayan begitu.

Didiklah anak kita seiring dengan usia mereka. Walaupun sebagai ibu bapa menggangap tugas anak perempuan di dapur tapi apa salahnya kalau ilmu menguruskan rumah dikongsikan juga untuk anak lelaki. Supaya ini membawa manfaat kepada semua.

 

Sumber: Bel Nawhen

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang