Siakap Keli
Foto: Washington Post/Cyprus Mail

Empat Suspek Insiden Tembak Jatuh MH17 Bakal Berhadapan Tuduhan Bunuh

Seperti yang kita tahu, sebentar tadi pasukan penyiasat yang terlibat dalam kes insiden tembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 telah mendedahkan identiti empat orang suspek utama yang didakwa terlibat.

Mereka ialah tiga warga Russia, Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov dan seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko. Ketiga-tiga suspek dari Rusia dikatakan pernah berkhidmat dalam pasukan tentera di negara tersebut.

Foto: Washington Post

Terbaru, menurut laporan The Guardian, akan dihadapkan ke Mahkamah untuk proses pendakwaan bermula pada 9 Mac tahun hadapan di Belanda. Kesemua suspek akan menghadapi tuduhan bunuh.

Semasa kejadian berkenaan, kapal terbang penumpang jenis Boeing 777 milik Malaysia Airlines, MH17 sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam sebelum ditembak jatuh di wilayah timur Ukraine.

Serangan itu mengakibatkan kesemua penumpang dan anak kapal maut, di mana sebahagian besar dari mereka adalah warganegara Belanda dan Malaysia.

Pada peringkat awal selepas kejadian itu berlaku, Belanda dan Australia meletakkan Rusia sebagai ‘pihak bertanggungjawab’ dalam serangan itu atas alasan senjata yang digunakan dalam serangan adalah berasal dari negara berkenaan.

Foto: Washington Post

Akan tetapi, satu pasukan penyiasatan antarabangsa, Joint Investigation Team(JIT) telah ditubuhkan bagi mencari dalang sebenar serangan tersebut dan ia disertai oleh wakil dari negara Belanda, Malaysia, Belgium, Australia dan Ukraine.

Pasukan penyiasat itu akan terus menyiasat dengan lebih lanjut mengenai kejadian ini kerana menurut mereka, masih ada beberapa lagi individu yang disyaki terbabit dalam serangan berkenaan.

Dalam pada itu, mereka juga mengharapkan kerajaan Rusia dapat memberikan kerjasama dalam siasatan tersebut, di mana mereka(Rusia) tidak melakukannya sebelum ini.

Diharapkan kesemua suspek terlibat dapat ditahan dan dikenakan tindakan yang setimpal dengan jenayah yang telah dilakukan mereka.

Sumber: The Guardian, BBC

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi