Siakap Keli

Kes Wabak Chikungunya Di Kedah, 16 Premis Positif Dikesan Jadi Kawasan Pembiakan Aedes

Alor Setar – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah mengesahkan seramai 15 orang penduduk telah dijangkiti virus bawaan nyamuk Aedes, Chikungunya.

Sejak semalam, seramai 23 orang dilaporkan mengalami gejala demam, sakit sendi yang teruk dan ruam serta kebanyakan mereka mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dato’ Dr Norhizan Bin Ismail, pemeriksaan ke atas 342 premis di kawasan terlibat telah dijalankan dan sejumlah 16 premis positif pembiakan.

Daripada jumlah tersebut, 10 premis telah dikeluarkan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975).

Aktiviti semburan kabus telah dijalankan dalam radius 200 meter dari kawasan terlibat.

Masyarakat disarankan untuk melakukan pengesanan secara aktif di kawasan terlibat dan merujuk ke hospital jika terdapat tanda-tanda jangkitan demam, sakit sendi teruk dan ruam.

Jabatan kesihatan juga menyarankan pemakaian pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah terutama apabila berada di luar rumah di samping menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Selain denggi, Aedes juga menjadi pembawa virus Zika dan Chikungunya yang boleh membawa maut.

Sebelum ini, tular di media sosial kes penyakit disyaki Chikungunya di deretan kedai berhampiran City Plaza, di sini.

Sumber: Jabatan Kesihatan  Kedah

Amira

Love yourself.