Siakap Keli
Gambar Hiasan(fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA)

Ikon Usahawan Kelantan: Peniaga Tudung Bawal Raih Jualan Jutaan Ringgit

KOTA BHARU, 27 Jun (Bernama) — Memulakan perniagaan dengan modal hanya RM200, Wan Norsyafikah Wan Mat Rifin, 25, kini mampu meraih hasil jualan jutaan ringgit hasil perniagaan tudung bawal miliknya.

Beliau juga melalui pelbagai cabaran hidup termasuk kesempitan wang, namun kerana minat dalam bidang perniagaan, pengasas GalleryBawal itu tekad memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sehingga mampu meraih jualan sebanyak RM1.9 juta tahun lepas.

Kejayaan ibu kepada tiga anak itu melayakkan beliau dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Kelantan 2019 oleh kerajaan negeri Kelantan yang disampaikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 di sini semalam.

Wan Norsyafikah berkata beliau berterima kasih dan terharu dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya itu.

“Saya bersyukur dalam masa sama terkejut mendapat pengiktirafan ini, saya memulakan perniagaan pada 2012 dengan modal yang tidak besar hasil nafkah bulanan yang diberikan suami, Ahmad Salmizi Muhammad, 33, yang bekerja di sebuah kedai prabot ketika itu.

“Pada awal perniagaan, saya hanya bekerja seorang dengan menggunakan seterika biasa bagi menampal batu manik pada tudung bawal, ada kalanya saya turut dibantu suami,” katanya.

Selepas beberapa bulan berniaga, beliau mula mampu mengupah seorang pekerja dan membeli sebuah mesin terpakai untuk membuat tampalan batu manik pada tudung sehingga perniagaannya berkembang sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Memang niat saya nak bantu golongan muda serta ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan, memandangkan saya pun pada awalnya bukan berasal daripada keluarga yang senang, saya pernah merasa kesusahan hidup sehingga ada satu ketika saya terpaksa berkongsi sebungkus nasi putih untuk dimakan dua orang.

“Malah, kesusahan hidup ketika itu juga membuatkan saya terpaksa memberi bancuhan gandum bagi menggantikan susu tepung untuk diberikan kepada anak sulung saya ketika itu,” katanya yang kini telah memiliki sebuah butik tudung yang terletak di Kampung Kedai Buloh, Badang.

HIngga kini, beliau mempunyai 81 pekerja terdiri daripada penduduk di kampungnya dan 255 ejen serta stokis di seluruh Malaysia dan Brunei.

Norsyafikah berkata, tudung bawalnya menjadi pilihan disebabkan harga mampu milik yang bermula dengan hanya RM20 sehingga RM200 yang mampu dijual sebanyak 10,000 helai pada setiap bulan selain turut mendapat permintaan di luar negara termasuk Australia dan Jepun.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi