Siakap Keli
Gambar Hiasan

Banyak Kes Bayi Meninggal Dunia Ketika Tidur, Jururawat Ini Kongsi Sebab Utama Yang Mungkin Terjadi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Punyai anak merupakan impian setiap pasangan yang berkahwin. Ia diumpamakan sebagai anugerah tidak ternilai yang diamanahkan kepada setiap ibubapa untuk dijaga sebaik-baiknya. Namun seiiring masa berjalan, saban hari kita dipaparkan dengan berita sadis yang melibatkan bayi.

Terbaru adalah khabar yang diberitakan beberapa hari ini tentang kematian ‘misteri’ seorang bayi yang tidak siketahui puncanya. Oleh itu, seorang jururawat, Bel Nawhen yang suka berkongsi nasihat dan ilmu tentang kesihatan telah memuatnaik hantaran di laman Facebooknya berkaitan perkara ini.

Menurutnya:

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes bayi meninggal dunia dan tidak disedari oleh bapanya. Takziah saya ucapkan. Walau bagimanapun, kejadian ini bukanlah satu kealpaan dari si bapa, kerana kejadian seperti ini boleh berlaku kepada mana-mana bayi sekalipun.

Ada satu kejadian mati mengejut dikalangan bayi yang disebabkan oleh Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) iaitu sindrom kematian bayi berusia kurang daripada 1 tahun tanpa diketahui punca, walaupun selepas semakan sejarah klinikal, pemeriksaan tempat kematian dan bedah siasat. Ia berlaku ketika bayi tidur, biasanya antara jam 12 tengah malam dan 6 pagi.

90% SIDS berlaku pada usia kurang daripada 6 bulan. Puncanya tidak diketahui, namun melalui pelbagai kajian serta semakan rekod bayi yang mengalami SIDS didapati ia cenderung untuk berlaku kepada bayi yang :

[1] Tidur dalam posisi meniarap.

Oksigen di otak adalah lebih rendah bagi bayi yang tidur dalam posisi meniarap berbanding menelentang, terutamanya bagi bayi pramatang.

[2] Tidur atas permukaan lembut atau dengan bantal, selimut, atau mainan lembut (soft toys) atas katil.

[3] Tidur di atas katil atau sofa bersama orang dewasa atau bersama kanak-kanak lain.

[4] Memakai pakaian berlapis-lapis ketika tidur. Ini menyebabkan suhu badan bayi boleh menjadi tinggi.

[5] Dilahirkan oleh ibu yang merupakan perokok.

[6] Dilahirkan oleh ibu berusia bawah 20 tahun atau yang tidak mendapat penjagaan perubatan ketika mengandung.

[7] Bersalin terlalu awal atau berat kurang daripada normal.

[8] Penggunaan buaian juga boleh menyebabkan SIDS berlaku kerana anak tidur terlalu lena.

[9] Mempunyai jangkitan salur pernafasan yang menyebabkan masalah pernafasan sewaktu tidur.

Tidak diketahui sama ada SIDS boleh dielakkan atau tidak tapi antara perkara yang didapati mampu mengurangkan risiko berlakunya SIDS ialah :

[1] Tidurkan bayi dalam posisi menelentang.

[2] Tidurkan bayi di atas katil khusus tanpa kongsi dengan sesiapa.

[3] Tidurkan bayi di atas permukaan yang pejal bukannya diatas sofa, tilam air mahupun kusyen.

[4] Jangan tidurkan bayi anda di dalam ‘car seat’ kecuali ketika di dalam kereta sewaktu perjalanan kemana-mana. Jangan juga menggunakan stroller/buaian sebagai rutin.

[5] Alihkan bantal dan soft toys daripada katil bayi supaya tidak memberi gangguan sewaktu bayi tidur

[6] Jangan tutup kepala bayi ketika tidur.

[7] Jangan pakaikan pakaian terlalu banyak lapis ketika tidur.

[8] Berhenti merokok termasuklah ahli keluarga dalam rumah yang sama.

[9] Menyusu badan anak anda akan mengurangkan risiko SIDS sebanyak 50%.

[10] Boleh gunakan pacifier tetapi kenalkan setelah anak berusia lebih sebulan bagi mengelakkan kejadian keliru puting.

Apabila bayi sudah pandai bergolek daripada menelentang kepada meniarap, ibubapa perlu meletakkannya pada posisi menelentang semula, sehinggalah bayi itu pandai untuk bertukar posisi sendiri daripada meniarap kepada menelentang dan sebaliknya.

Rujukan:

[1] Mayoclinic.org

[2] WebMD

[3] Pediatrics

Sumber : Bel Nawhen

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.