Siakap Keli
Gambar: Angkatan Pertahanan Awam Daerah Klang

Tapak Perlupusan Sampah Haram Di Klang Terbakar

SHAH ALAM, 27 Jun (Bernama) — Kawasan tapak pelupusan sampah haram seluas 1.2 hektar di Kampung Rantau Panjang, Klang dekat sini terbakar sejak pagi tadi berikutan tindakan individu tidak bertanggungjawab.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.20 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang ke lokasi kejadian.

Katanya kebakaran itu berlaku di sebahagian kawasan pelupusan sampah berkenaan yang terletak di atas tanah persendirian berkeluasan kira-kira empat hektar.

“Bomba menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran berkenaan berikutan cuaca kering dan berangin, sehingga kini kerja-kerja memadamkan api masih berjalan.

“Sampah yang terdiri daripada bahan mudah terbakar seperti bahan kitar semula dan penebat wayar yang dikisar turut menyukarkan kerja memadam api,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hafisham berkata kerja memadam kebakaran turut dibantu oleh polis, pasukan dari Majlis Perbandaran Klang dan pasukan bomba Pelabuhan Utara.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa