Siakap Keli

Kaji Semula Dasar Isu Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Di Hospital – Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan perlu mengkaji semula dasar sedia ada serta melihat pelbagai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di semua hospital yang boleh menjejaskan serta mempunyai risiko terhadap petugas mereka.

Pengerusi Institut Keselamatan danKesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pihak kementerian harus mengenal pasti kelemahan dan mencari penyelesaian isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk semua kecederaan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan di hospital awam dan swasta.

“Sebahagian daripada anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak benar-benar memahami peranan mereka manakala segelintir kakitangan tidak tahu dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan organisasi mereka.

“Terdapat kes di mana kakitangan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk keperluan memakai peralatan perlindungan diri yang sesuai, sementara kecederaan akibat tercucuk jarum masih dilaporkan dalam kakitangan perubatan, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lee berkata statistik Biro Buruh Amerika Syarikat menyatakan bahawa bekerja di hospital adalah amat berbahaya dengan kemungkinan berlaku kecederaan atau penyakit berbanding sektor pembinaan dan pembuatan.

Dalam pada itu Lee berkata hospital juga perlu meningkatkan kesedaran mengenai kemalangan perjalanan bagi kakitangannya kerana dalam tempoh 2014 hingga 2016, sebanyak 554 kes direkodkan melibatkan pelbagai kategori kakitangan kesihatan yang berkhidmat di hospital di bawah Kementerian Kesihatan.

Jururawat mencatat bilangan kemalangan paling tinggi iaitu 295 kes, diikuti pembantu penjagaan kesihatan (91), pekerjaan lain (52), pembantu pegawai perubatan (35), pemandu (31) dan pembantu penyediaan makanan (15).

Justeru beliau menggesa agar semua pihak bekerjasama untuk mengurangkan kecederaan, penyakit dan kematian yang disebabkan oleh kemalangan tempat kerja dan kemalangan perjalanan yang memberi kesan terhadap produktiviti dan semangat bekerja dalam organisasi.

Sumber : BERNAMA

fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di