Siakap Keli
Gambar Hiasan

7 Sebab Ini Mungkin Buat Anda Tak Suka Nak Pergi Majlis Reunion Dengan Kawan Sekolah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sudah lama ia menjadi satu trend bagi masyarakat kita mengadakan majlis reunion bersama-sama kenalan sekolah. Ia boleh dikatakan menjadi tradisi wajib untuk alumni dan bekas-bekas pelajar dari sekolah rendah mahupun universiti untuk mengeratkan silaturahim yang telah lama terpisah.

Namun, perasaan atau tidak pasti akan ada segelintir yang tidak akan hadir ke mana-mana majlis reunion bersebab atau tidak. Kita tak tahu mungkin meraka mempunyai kisah dan sejarah tersendiri waktu zaman belajar dulu.

Perkongsian menarik ini daripada Putra Nubhan di laman Facebooknya mengenai jawapan kenapa ada segelintir orang tidak suka ke majlis reunion. Mungkin anda salah seorang, kita taktahu.

Sudah menjadi kebiasaan selepas beberapa tahun tamat belajar, alumni sekolah atau universiti akan mengadakan majlis perjumpaan semula secara rasmi atau tidak. Kalau bagi golongan lelaki selalunya mereka lebih selesa berjumpa di kedai mamakatau berbuka puasa bersama.

Namun setiap kali ada reunion sekolah, terutama sekali bagi sekolah berasrama, tidak semua yang hadir, malah boleh kata ramai juga bekas pelajar sekolah itu tak hadir. Balik-balik orang yang sama je yang datang. Pernah tak anda terfikir kenapa mereka tidak hadir atau tidak pernah terlibat dalam mana-mana majlis perjumpaan semula.

Jauh dari fikiran kita, memikirkan jika seseorang yang tidak suka hadir di maljis tersebut di kira sebagai sombong, lupa sekolah dan tidak ingat kawan dan sebagainya. Secara tidak langsung, kita hanya melihat hal ini dari sudut kehidupan kita sahaja bukan mereka.

1. Satu sekolah tidak semestinya berkawan baik

Kebanyakan orang ramai mesti ada juga pengalaman begini, walaupun satu sekolah tetapi tidak semestinya berkawan baik. Pasti sewaktu belajar dulu, dalam kalangan kita pernah ‘bina’ satu kumpulan atau geng. Dalam satu geng tersebut mesti akan ada golongan yang dominan di mana mereka bebas untuk mengejek dan membahan orang.

Apabila seseorang yang bukan dominan daripada kumpulan tersebut pasti dirinya menjadi bahan ketawa dan ejekan. Bila saja habis sekolah, mesti akan ada juga ‘point’ untuk menjadi bahan.

Namun bila jumpa balik, perangai dominan mereka masih ada. Mereka masih ejek-mengejek, ungkit kisah-kisah sekolah lama yang memalukan, kalau kita bawa awek atau isteri, mereka malukan kita depan pasangan kita. Kalau pergi reunion hanya untuk dimalukan, baik tak payah, no point. Come on, grow up lah.

2. Zaman sekolah tidak semestinya kenangan terindah

Pasti akan ada seseorang yang merasakan zaman sekolah bukan satu kenangan yang indah baginya. Dan mungkin akan merasakan itulah kenangan yang paling hitam dalam hidupnya.

Macam orang yang pernah bersekolah asrama, mereka yang tak pernah kena buli, yang ramai kawan baik, yang dari geng dominan, yang berkuasa di sekolah dulu, atau mereka yang kuat buli orang dulu, bagi mereka zaman sekolah mereka memang best.

Namun tidak bagi mereka yang jadi mangsa ejekan melampau, mangsa buli, mangsa cabul, mangsa liwat dan sebagainya, bagi mereka zaman sekolah adalah neraka dunia, yang dia sangat benci dan takkan jejakkan kaki lagi di sekolah itu.

3. Pengalaman melalui sisi gelap sekolah asrama

Mungkin kita rasa benda ni macam mengarut atau kes terpencil, namun realitinya ia ada berlaku, di suatu tempat, pada diri kita, atau orang lain. Sebab itu bila aku tulis artikel “Sisi gelap sekolah berasrama yang jarang diketahui” baru-baru ini, artikel itu dikongsikan oleh ramai orang, malah ramai orang yang turut kongsikan pengalaman buruk mereka yang lebih kurang sama di ruangan komen. Hal ini memang berlaku, malah boleh memberi kesan dan menghantui seseorang hingga mereka dewasa.

4. Dunia bukan hanya berkaitan diri kita

Aku nak cakap, dunia ini bukan hanya berkaitan diri kita dan sekeliling kita sahaja. Kehidupan dan pengalaman setiap orang tak sama. Hanya kerana kau tak melalui pengalaman tersebut, bukan bermakna cerita itu tipu dan tak berlaku di tempat lain, pada orang lain.

Kau ada ibu bapa yang sayangkan kau, hakikatnya ada anak yang didera ibu bapanya di suatu tempat yang lain. Kau ada kehidupan rumahtangga yang bahagia, hakikatnya ada pasangan suami isteri bergaduh sehingga keluarga porak peranda di suatu tempat yang lain. Kau tak pernah kena buli di sekolah, hakikatnya ada anak orang lain kena buli di suatu tempat yang lain.

5. Hulurkan tangan bukan hinaan

Jadi bila ada orang yang menghadapi kesusahan dan kesulitan cuba reach out, luahkan perasaan dan masalah mereka, kau label dia menipu, kau cakap itu kes terpencil, kau cakap itu perkara kecil, kau hina dia lembik, lemah dan sebagainya, langsung tidak ada sifat empati dalam diri.

Bila ada orang yang menjadi mangsa minta bantuan dan luahkan masalah, kita seharusnya menghulurkan tangan membantu mangsa, tapi kau salahkan mangsa pula dan pertahankan pula sang penindas dan pemangsa. Manusia apa kau ni?

6. Tiada siapa layak ditindas orang lain

Malangnya, masyarakat kita masih memandang enteng isu seperti ini, hanya kerana mereka tidak pernah melaluinya atau melaluinya sebagai pihak penindas. Aku kalau hantar anak ke sekolah asrama, aku mahu dia belajar akademik dan belajar berdikari, bukan untuk dijadikan hamba senior atau mangsa bulian.

Sedangkan kat kem tentera pun kau tak boleh pukul orang sesuka hati, apatah lagi di sekolah.

7. Jangan hilangkan kepercayaan anak dan murid

Para ibu bapa dan guru pula, kalau anak anda atau murid anda mengadu yang mereka kena buli, kena pukul, kena cabul, kena liwat, atau apa-apa jua jenis penindasan oleh rakan sebaya atau senior, jangan pandang remeh. Mereka cuba reach out pada anda, mengadu pada anda, kerana mereka percayakan anda sebagai ibu bapa dan guru mereka.

Jangan sampai akhirnya anak-anak ini ada trust issue dan hilang kepercayaan pada ibu bapa dan guru mereka, sehingga akhirnya mencari jalan penyelesaian di tempat lain yang mungkin akan memudaratkan diri dan memberi kesan buruk yang berpanjangan.

Inilah 7 sebab kenapa sesetengah orang tidak suka menghadiri majlis reunion atau berkumpul semula bersama-sama rakan yang lain. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku, janganlah mendidik anak kecil berkelakuan dominan tetapi janganlah terlalu ‘malu’ untuk bergaul dengan khalayak ramai.

Bila masuk alam pekerjaan, kemungkinan kumpulan dominan ini juga akan mmebawa sikapnya, jadi timbullah isu tikam belakang, tindak menindas dan kroni serta sebagainya.

 

Sumber: Putra Nubhan

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang