Siakap Keli
Kredit: Popmama.com/Discover Magazine Blogs

“Kalau Saya Belah Ketupat Ni Isinya Putih, Maknanya Masuk Syurga,” Kata-Kata Anak Autisme Ini Buat Netizen Sebak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tugas untuk menjaga anak istimewa merupakan tanggungjawab yang mencabar dan tidak mampu dipikul oleh calang-calang orang. Hanya golongan penyabar dan penyayang sahaja yang mampu menjaga mereka dengan sepenuh hati.

Tingkah laku anak autisme adakalanya menyebabkan orang sekeliling tercuit hati, teruji kesabaran dan tersentuh emosi.

Seorang pengguna Facebook, Shamsulbahri MdDali berkongsi pertemuannya dengan seorang anak istimewa yang meruntun jiwa.

Anak autisme tersebut telah dibesarkan neneknya sejak berusia 4 tahun sehinggalah 17 tahun. Walaupun sering diziarahi ibu kandung sendiri, wanita itu tetap tidak sanggup mengambil anaknya kembali.

Berikut adalah perkongsiannya.

Tadi di sebuah rumah terbuka hari raya, saya bertemu seorang remaja autism yang datang bersama neneknya.

Mengikut cerita neneknya, ibu remaja tersebut tidak tahan lagi dengan kerenah anaknya lalu diserahkan kepada ibunya (nenek itu) untuk dijaga sejak umurnya 4 tahun sehingga kini 17 tahun. Ibunya sering juga datang ziarah tetapi tetap tidak sanggup mengambil semula anak itu.

Ketika si nenek mengambil makanan dan meminta saya tengok-tengokkan cucunya, saya ambil kesempatan melayani remaja tersebut. Namun yang paling menyentuh perasaan saya bila dia berkata,

“Kalau saya belah dua ketupat ini dan isinya putih, maknanya masuk syurga. Kalau isinya hitam atau putih campur hitam, maknanya masuk neraka.”

Dua kali dia potong ketupat, kedua-duanya berwarna putih, dan dia ketawa kegembiraan… Saya ikut ketawa dalam sebak.

Sayang saya tidak sempat ambil gambarnya buat kenangan.

Berikutan itu, ramai yang meluahkan rasa sebak membaca kata-kata remaja autisme tersebut.

“Semoga dipermudahkan urusan neneknya..”

“Apalah nasibnya jika neneknya pergi dulu..”

“Ilmu penjagaan masih belum sampai kepada masyarakat secara meluas, yang ramai faham lembam, jahat dan tak dengar kata.”

“Sedihnya, masih ada ibu kandung macam ni.”

“Jangan risau dik, Allah sentiasa jaga awak sampai syurga..”

Biarpun situasi ini mungkin sekadar permainan anak istimewa itu tanpa memaksudkan hal yang sebenar, hakikat ucapannya membuatkan manusia normal seperti kita tersentuh.

Ya, merekalah anak syurga yang lebih baik dan lebih terjamin nasibnya di ‘sana’ berbanding kita yang menggunakan pancaindera dan ‘kesempurnaan’ diberi untuk melakukan dosa.

Mereka mungkin teruji di dunia, tapi mereka sudah punya tempat di syurga. Semoga anak-anak ini dan para penjaga mereka terus diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan.

Sumber: Shamsulbahri MdDali

Amira

Love yourself.