Siakap Keli

”Isteri, Lihatlah Selipar Buruk Suamimu,” Menitik Air Mata Lepas Baca Luahan Lelaki Ini Terhadap Isterinya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

”Dia penat bekerja tapi tak pernah mengeluh.. dia sakit tapi dia tahan.. dia tak ada wang tapi tetap berusaha cari.. tapi untuk siapa? untuk isteri dan anak-anaknya..”

Bait-bait kata tersebut cukup menggambarkan pengorbanan seorang lelaki bernama suami dalam usaha memberikan yang terbaik buat keluarganya. Benar, tanggungjawab menyediakan nafkah untuk keluarga itu wajib namun ada suami yang dalam diam sanggup mengenepikan kepentingan dirinya sendiri demi anak dan isteri.

”Isteri, lihatlah selipar buruk suamimu,” satu perkongsian seorang suami yang ternyata menyentuh emosi ramai. Ini hanya bukan kisah sandal, tetapi di sebaliknya tersirat seribu satu pengorbanan seorang lelaki yang mungkin tidak wanita sedari. Jadi, hargailah pasangan kita sementara masih ada, hari ini dia masih di sisi, tak siapa tahu mungkin esok tiada lagi.

Selipar Buruk Suami.

Isteri. Lihatlah selipar suamimu. Ada sebabnya kenapa selipar ini menjadi begitu buruk dan ada sebabnya kenapa selipar ini masih dipakai sehingga kini.

Isteri. Betul, lumrah lelaki akan memakai sesuatu sehingga ianya tidak boleh dipakai lagi. Sebagai contoh, dompet, tali pinggang, seluar jeans dan kasut serta selipar. Tetapi itu semua sekadar luaran sahaja. Marilah kita selami lebih dalam sedikit hari ini.

Isteri, selipar suamimu telah lama rosak

Isteri. Selipar suamimu telah lama rosak. Buruk sangat rupanya. Berkali-kali kamu telah menegur dan mengingatkan dia supaya menukar selipar yang baru. Tetapi sering jawapannya sama sahaja. “Nantilah”.

Isteri. Suamimu setiap hari keluar dengan selipar yang sama. Selipar itu amat berharga baginya. Selipar kulit memang tahan lama. Cuma, apabila suamimu pakai, ia jadi jauh lebih lama dari usia yang sepatutnya.

Gambar : FB Akhtar Syamir

Namun, keutamaan dirinya telah jauh ditolak ke belakang

Isteri. Apabila seorang lelaki yang bertanggungjawab berkahwin. Keutamaan dirinya telah jauh ditolak ke belakang. Apa yang ada pada dirinya menjadi kurang penting.

Isteri. Seringkali dalam minda suami akan membayangkan dengan duit yang dibelanjakan untuk membeli selipar baru, boleh digunakan untuk membeli lampin anak, membeli pakai anak dan isteri, membeli barang dapur dan rumah serta membayar duit persekolahan anak. Bukan tidak mampu, tetapi ia menjadi suatu yang tidak perlu walaupun ianya satu keperluan.

Biarlah tapak kaki sudah mengenai lantai, suamimu akan jalan dengan lebih berhati-hati supaya tidak memijak benda yang boleh melukakan

Isteri. Selagi daya, suamimu akan memakai selipar itu. Biarlah tapak kaki sudah mengenai lantai, suamimu akan jalan dengan lebih berhati-hati supaya tidak memijak benda yang boleh melukakan.

Isteri. Suamimu seorang sahaja punca pendapatan keluarga. Setiap detik, setiap ketika dia memikirkanmu dan anak-anak. Setiap detik membayangkan bagaimanakah keadaanya jika dia tiada. Tidak sanggup memikirkannya, itulah sebab kenapa dia jarang mengeluh.

Isteri, Cukuplah sekadar kamu terus berada di sisi di saat aku dan kamu sedang diuji

Gambar sekadar hiasan

Isteri. Suamimu tidak meminta dan tidak juga mengharapkan kamu memberinya apa-apa. Cukuplah sekadar kamu terus berada di sisi di saat dia dan kamu sedang diuji. Cukup sekadar senyuman di wajah manismu.

Isteri. Jika kamu pernah nampak dia mengangkat selipar baru dan kemudiannya meletakkan semula, pada saat itulah, hanya seberapa ketika sahaja di dalam mindanya menolak keperluan dirinya jauh ke bawah.

Isteri. Perlu tahu yang dia jadi begini kerana sayang kepadamu. Dia menghargai apa yang telah kamu lakukan untuk dirinya.

Lihatlah selipar suamimu, jika ia pernah seburuk ini, mungkin banyak pengorbanan dia yang kamu tidak ketahui

Isteri. Lihatlah selipar suamimu. Jika ia pernah seburuk ini, mungkin banyak pengorbanan dia yang kamu tidak ketahui. Hargailah dia, berterima kasihlah kepadanya.

Sekadar renungan buat semua. Alhamdulillah selipar saya akhirnya telah berganti.

Gambar sekadar hiasan

Bukan selalu saya berbicara mengenai suami. Harap tidak membanding-bandingkan antara suami dan isteri. Setiap orang ada bahagian masing-masing. Buatlah bahagian kita dengan baiknya, In Shaa Allah pasangan kita akan sedar dan menghargainya.

Kongsikan penulisan ini untuk manfaat semua.

Jemput follow saya 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.

Sumber : Akhtar Syamir

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.