Siakap Keli
Kredit: Sharing Is Caring

(Video) Tiba-Tiba Tercekik, CCTV Rakam Tindakan Pantas ”Manager” Selamatkan Lelaki Dari Maut

Kita mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang sekiranya kita mempunyai ilmu pertolongan cemas. Menyaksikan kematian di hadapan mata ketika kita tidak mampu berbuat apa-apa pasti menjadi detik trauma yang menghantui hari-hari kita.

Oleh itu, kita perlu mempelajari sekurang-kurangnya asas ilmu pertolongan cemas supaya dapat membantu ahli keluarga, rakan-rakan ataupun orang awam yang memerlukan ketika kita berada bersama mereka di tempat kejadian.

Dalam satu rakaman CCTV, seorang lelaki hampir maut akibat tercekik makanan yang dimakannya ketika sedang menikmati makan malam bersama pasangannya di salah sebuah restoran Greek.

Setelah cuba mengeluarkan makanan dengan memaksa dirinya untuk batuk sehingga kira-kira 1 minit, usahanya ternyata gagal. Dia kemudiannya berdiri sambil berjalan ke sana ke mari dalam keadaan cemas. Pasangannya menepuk-nepuk belakang badan mangsa dengan harapan dia dapat bernafas seperti biasa namun situasi tetap sama.

Mereka diperhatikan oleh pelanggan-pelanggan lain yang turut buntu untuk membantu sehinggalah seorang pelayan memberitahu pengurus restoran berkenaan.

Sejurus selepas itu, tampil seorang lelaki yang membantu mangsa dengan melakukan Heimlich Maneuver, satu cara untuk memberi bantuan kecemasan kepada mereka yang mengalami masalah saluran pernafasan tersumbat akibat tercekik.

Lelaki tersebut dilihat memberi tekanan kepada bahagian abdomen mangsa, yakni antara tulang rusuk dengan pusat.

Setelah 90 saat, akhirnya makanan yang menyekat saluran pernafasan mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan.

Kejadian tersebut terakam di CCTV restoran dan dikongsikan di internet oleh pengurus restoran berkenaan sebagai pengajaran kepada orang ramai akan betapa pentingnya mengetahui ilmu pertolongan cemas dalam situasi genting.

Anda juga boleh lakukan Heimlich Maneuver ke atas diri sendiri sekiranya anda tercekik ketika berseorangan. Caranya ialah dengan membongkokkan diri dan menujah perut menggunakan bangku, meja atau apa-apa objek yang mempunyai ketinggian sesuai dengan paras abdomen anda.

Selain itu, anda juga boleh menujah perut anda dalam keadaan membongkokkan diri sehingga makanan tersebut terkeluar.

Sumber: Sharing Is Caring, The List Show TV

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.