Siakap Keli
Ghost pepper antara cili terpedas, tapi ada yang lebih pedas dari Ghost pepper. (Kredit: Fact Retriever/Medical News Today)

Muka Merah, Hingus Meleleh, Badan Berpeluh Bila Makan Makanan Pedas? Ini Puncanya

Bagi penggemar makanan pedas, anda mungkin sudah terbiasa dengan kehangatan makanan yang boleh membuatkan orang lain meleleh hidung. Asal ada cabaran makanan pedas yang baru, pasti anda ingin cuba. Tomyam kaw, sambal belacan dan ayam penyet pasti pernah menjadi kegemaran anda. Kalau tak ada cili, tak sah.

Tapi tahukah anda, antara elemen yang menentukan tahap kepedasan satu-satu cili ialah capsaicin, sejenis kimia yang terkandung di dalam biji dan placenta iaitu stuktur yang memegang biji-biji tersebut.

Kredit: Pepper Scale

Kepedasan tidak sama seperti perisa manis, masam, pahit dan masin yang boleh dikenal pasti melalui empat deria rasa lidah. Sebaliknya, ia merupakan rangsangan kepada reseptor kesakitan pada badan kita. Molekul capsaicin memberi sensasi sakit pada reseptor anda, membuatkan badan bertindak balas terhadap rasa pedas tersebut.

Hidung berair

Seorang pakar nutrisi, Melissa Calenda berkata,

Capsaicin menyebabkan iritasi pada membran mukus (lapisan lendir) terutamanya di dalam hidung. Jadi sebagai mekanisme pertahanan, ia akan menghasilkan lebih banyak mukus menyebabkan hidung anda berair. Jadi, lebihan lendir itu berfungsi menjauhkan bahan yang tidak diingini.”

Badan berpeluh

Sensasi diberikan capsaicin menyerupai sensasi disebabkan haba yang membuatkan anda berasa panas. Oleh itu, saraf akan menghantar isyarat ke otak seolah-olah tubuh anda berada dalam situasi bersuhu tinggi yang dianggap sebagai ancaman. Hal ini mengaktifkan reaksi tubuh mengeluarkan peluh sebagai mekanisme membebaskan haba dan menyejukkan badan.

Tahukah anda, semakin kecil cili, semakin pedas? (Kredit: Taste.com.au)

Muka merah

Apabila berada dalam kepanasan, kulit kita akan menjadi merah. Hal ini berlaku kerana kapilari darah mengembang di bawah kulit untuk memudahkan pembebasan haba di dalam badan sebagai usaha tubuh menstabilkan suhu badan ke tahap normal kembali.

Sakit perut

Dalam sesetengah keadaan, kita akan mengalami sakit perut apabila makan makanan pedas terutamanya jika kita mengambil makanan tersebut ketika perut kosong.

Hal ini kerana capsaicin dianggap sebagai bahan ‘ancaman’ yang perlu disingkirkan segera oleh tubuh. Apabila perut kita kosong, molekul capsaicin akan terus mengiritasi lapisan lendir pada usus – sepertimana ia menyebabkan iritasi pada hidung.

Jadi, kelenjar di dalam usus akan menghasilkan lebih banyak cairan untuk memudahkan pergerakan makanan tersebut ke usus besar, kadangkala sehingga menyebabkan cirit berlaku.

‘Pedih ulu hati’ ketika makan pedas?

Sebenarnya, ia bukanlah pedih ulu hati yang disebabkan refluks asid, tetapi sensasi hangat yang berlaku di dalam saluran esofagus. Molekul capsaicin akan merangsang reseptor TRPV1 di dalam saluran tersebut menyebabkan rasa sakit menyerupai pedih ulu hati.

Makanan kalau tak pedas, tak umph lah kan? Namun jangan dilupa, makanan pedas ini boleh merosakkan usus. Jadi, bersederhanalah ya. Beri masa untuk usus anda rehat.

Nak tahu macam mana suhu badan kita berubah bila makan makanan pedas? Jom tengok video di bawah.
Eksperimen ini dijalankan untuk memerhati perubahan suhu badan ketika memakan cili menggunakan kamera pengimejan haba.

Warna putih menandakan suhu paling panas, diikuti warna merah (panas), kuning (kurang panas) dan biru (sejuk).

Perhatikan bahagian tangan subjek yang berwarna kuning. Ini menunjukkan reaksi tubuh yang cuba menyejukkan badannya kembali.

Sumber: RS

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.