Siakap Keli

Bukan Kes Pertama Tentera Darat Hilang, Ini Antara Tragedi Yang Ramai Tak Tahu Berlaku Di Pulau Perak

Beberapa hari ini kita turut merasai kesedihan yang dialami keluarga Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers yang dilaporkan hilang sejak jumaat lalu. Mereka sebenarnya merupakan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis namun telah ditugaskan di kawasan operasi Op Pejarak di Pulau Perak.

Kehilangan kedua anggota terbabit disedari ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan bagi mengira kekuatan anggota. Dan sehingga kini, usaha pencarian mereka telah digiatkan untuk memastikan mereka ditemui segera. Tularnya kisah mengenai kehilangan dua tentera darat ini, sekaligus ia membawa kita kembali mengimbau tragedi tiga tahun lalu.

Ia membuka beberapa kisah yang terjadi di Pulau Perak, pulau kecil di perairan terhujung sebelah barat Semenanjung Malaysia. Mungkin ramai yang tak tahu bahawa ia adalah satu-satunya pulau di Lautan Hindi milik Malaysia. Ia terdiri daripada sebongkah besar batuan granit kurang satu km persegi.

Pulau Perak, Kedah

Ya, kisah yang hampir serupa berlaku di tempat yang sama.

4 oktober 2016, berita kehilangan Koperal Johbartlee Kanil (32) dan Koperal Mohd Faizol Rosli (29) mula menjadi buah mulut, tidak hanya di kalangan mereka di Markas Tentera Darat tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Masing-masing tertanya-tanya kemanakah hilang dua anggota tersebut. Wajah dan nama mereka menghiasi ruangan surat khabar, majalah mahupun media sosial. Kedua mereka dilaporkan sedang  menjalankan operasi di Pulau Perak dan kemudiannya hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air. sekitar jam 4.40 petang.

Doa dan kata-kata semangat dari orang ramai senantiasa dititip berharap ada berita baik yang menanti. Pencarian kedua mereka yang merupakan Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (4RRD) turut dibantu oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) digerakkan ke Pulau Perak berhampiran perairan Langkawi. Namun masih tiada tanda.

Sehinggalah empat hari kemudian, jasad yang tidak bernyawa Allahyarham Faizol Rosli berjaya ditemui oleh pasukan penyelam dari Pasukan Khas Laut (PASKAL). Mayatnya dijumpai 30 meter dari Pulau Perak dan dihantar ke KD Mahawangsa sebelum dibawa ke PU Butterworth dengan menaiki pesawat Fennexc.

Jenazah Allahyarham Mohd Faizol, 29 tahun kemudiannya dikebumikan pada 1.30 pagi selepas selesai solat jenazah di kediaman arwah di Kampung Keda Kemangi, Kupang.

Hadirin Menunaikan Solat Jenazah Allahyarham Koperal Mohd Faizol Rosli (Gambar: BERNAMA)
Jenazah Allahyarham Koperal Mohd Faizol Rosli dibawa ke tanah perkuburan (Gambar: BERNAMA)

Koperal Johbartlee Kanil? Sehingga kini tiada apa-apa berita mengenainya.

Pernah Didakwa Sebagai Tempat Terhempasnya Pesawat MH370

“Selamat Malam Tiga Tujuh Kosong (370)”

Kata-kata terakhir yang terdengar dari pesawat sebelum ia terus menghilang. Lima tahun berlalu, peristiwa yang bukan sahaja membelenggu rakyat Malaysia, tetapi seluruh dunia. Persoalan demi persoalan ditinggalkan sejak Malaysia Airlines MH370 yang sepatutnya berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang sekaligus melenyapkan 239 penumpang bersamanya. Misteri yang tidak terungkai, berharapkan keajaiban, terus menanti pulangnya pesawat penumpang Boeing 777.

Dalam kedukaan itu, heboh seketika apabila ada yang mendakwa bahawa pesawat itu telah ditemui di Pulau Perak. Berita itu menggemparkan seluruh negera dengan penyebaran melalui media sosial seperti Twitter dan What Apps.

MH370 dah dijumpai di kawasan Pulau Perak. Semua mati. Pukul 11 member saya akan confirmkan sekali lagi.
Sekarang semua aset TLDM digerakkan ke sana. Al Fatihah. MH 370 disyaki di hijack berpatah balik menuju ke Phuket terhempas di Tukun Perak diantara perairan langkawi dan lautan andaman selatan Thailand. 
Maklumat masih dirahsiakan untuk pasukan keselamatan saja. Ikut member saya TLDM melalui sonar jumpa bangkai kapal terbang dan cebisan pesawat. Dia org juga nampak ada mayat pakai life jaket terperangkap dalam pesawat. Belum dapat disahkan.
Pukul 6 pagi tadi semua kapal laut dan kapal terbang dikerahkan ke sana. Dia org jumpa pukul 6.50 ptg semalam. Lepas tu cuaca gelap. Malam tadi dia org terbang semula kawasan tu tapi cuaca gelap. 
Pukul 6 pagi tadi semua kapal terbang dan kapal dikerahkan ke tempat tersebut. Bila TUDM plot balik tempat tersebut, kawasan tu dalam perairan Indon. Antara Tukun Perak dengan Acheh. 
Insyallah kalau betul hari ni kita akan dapat tahu sesuatu yang positif.
Wallahualam. 
Dakwaan bahawa MH370 ditemui di Pulau Perak

Walaubagaimanpun, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud Panglima Tentera Udara (ketika itu) telah menafikan bahawa pangkalan udara Tentera Di-Raja Malaysia di Butterworth mengesan pesawat MH370 berada dekat kawasan Pulau Perak di Selat Melaka pada pukul 2.40 pagi.

Beliau malah memintak supaya laporan tersebut dibetulkan bagi mengelak sebarang salah tafsir berkaitan dengan kenyataannya sebelum ini. Tan Sri Rodzali  sebenarnya menyatakan bahawa pangkalan udara di Butterworth mengesan isyarat kedudukan pesawat terbabit berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Bharu, Kelantan sebelum dipercayai melalui ruang udara Pantai Timur dan Utara tanah air.

Bukan Sekadar Kisah Misteri, Ia Turut Menjadi Rumah Kepada ‘Monster Lautan’

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Pulau Perak juga selalu digelar sebagai Tukun Perak, namun kebanyakkan penduduk tempatan akan menyebutnya Pulau Kedah disebabkan oleh kedudukannya yang terletak di dalam perairan Kedah. Ia telah ‘diiktiraf sebagai syurga kaki pancing’ kerana menjadi tempat perlindungan pelbagai spesies ikan terutamanya spesies GT (Giant Trevally) iaitu ikan Ikan Jemuduk.

Rujukan

[1] Adha Ghazali. 2016. Dipetik dari PASKAL Bantu Cari Dua Anggota Tentera Hilang Dilaut pada 23 Julai 2019

[2] Astro Awani. 2014. Dipetik dari Panglima Udara Nafi Pesawat MH370 Di Pulau Perak pada 23 Julai 2019

[3] Mstar. 2014. Dipetik dari Netizen Bikin Kecoh Kononnya MH370 Ditemui pada 23 Julai 2019

[4]  Pancing Buletin. 2019. Misteri Monster Pulau Kedah. pada 23 Julai 2019

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)