Siakap Keli
Gambar Hiasan

Doktor Ini Ajar Cara Berkesan Untuk Redakan Sakit Belakang Tanpa Guna Ubat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Cuba bayangkan, tengah kusyuk menaip di komputer untuk menyelesaikan tugas tiba-tiba pinggang anda terasa sakit! Aduh, sudahlah banyak lagi kerja yang perlu disiapkan. Rasa tak selesa, tak fokus nak teruskan rutin harian anda.

Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang menyebabkan sakit belakang. Tetapi setakat ini 75% kes sakit belakang tidak dapat dipastikan puncanya. Manakala 25% kes ini berkemungkinan disebabkan postur duduk dan membongkok yang salah atau kurang selesa.

Tidak kiralah sama ada disebabkan oleh struktur di sekeliling tulang belakang seperti otot, ligamen atau tulang belakang itu sendiri. Ada kalanya sakit belakang seolah-olah menangkap pada bahagian pinggang secara tiba-tiba, sehingga kita rasa terkedu dan tidak boleh bergerak.

Oleh itu, Doktor Zubaidi telah memuatnaik hantaran di laman Facebooknya berkongsi cara terbaik yang boleh dilakukan ketika anda mengalami sakit belakang. Menurut beliau:

Ini Cara Meredakan Sakit Belakang Tanpa Ubat

[1] Apa yang boleh kita lakukan ialah berbaring dulu.

Seterusnya, minta pertolongan dari pasangan kita, sama ada suami atau isteri, atau minta pertolongan dari rakan-rakan jika berlaku di padang atau di tempat kerja.

[2] Kemudian dapatkan ais.

Letakkan dalam tuala bersih. Tuam ais pada bahagian yang sakit selama 20 minit. Ini akan mengurangkan rasa sakit dan bengkak. Lakukan beberapa kali sehingga rasa sakit hilang.

Gambar Hiasan

[3] Selepas kira-kira 48 jam, bertukar menggunakan tuam yang hangat.

Ini untuk merangsang aliran darah dan mengurangkan kekejangan otot. Celup tuala dalam air yang panas, perah keluar, kemudian lipat dan tuamkan ke bahagian pinggang yang sakit.

Pastikan tuala itu tidak terlalu panas sebelum diletakkan pada kulit belakang. Biarkan selama sehingga 20 minit. Boleh mengulangi tuaman ini tiga atau empat kali sehari selama beberapa hari.

[4] Buat Regangan

Selain itu bolehlah buat senaman regangan dengan cara duduk apabila sakit mula berkurangan. Apabila boleh berdiri, cuba luruskan belakang dengan menolak perut atau pinggang ke hadapan, tahan untuk 10-15 saat kemudian boleh rehat kembali.

Apabila bangun dari tidur, haruslah bangkit secara perlahan-lahan. Saya mencadangkan agar buat senaman regangan dulu. Caranya ialah dengan mengangkat tangan ke atas kepala ketika sedang berbaring.

Gambar Hiasan

Cuba luruskan secara perlahan-lahan. Kemudian cuba tolakkan pinggang ke atas menjauhi tilam. Tahan 10 hingga 15 saat. Kemudian rapatkan lutut ke dada dan peluk sekuat yang mungkin.

Bangun perlahan-lahan dari katil dengan gerakkan badan menghampiri tepi katil. Unjurkan kaki ke luar katil dan bangun secara perlahan-lahan dengan menggunakan tangan menolak tilam untuk duduk.

Cara-cara ini mungkin membantu bagi mereka yang mengalami masalah sakit belakang. Jika sakit belakang tidak kurang dengan mengambil ubat penahan sakit atau bertambah kuat atau menyebabkan rasa kebas dan sakit pada kaki, eloklah dapatkan pemeriksaan lanjut dari doktor.

Sumber: Dr. Zubaidi Haji Ahmad

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)