Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

(Video) Selera Pelik, Doktor Keluarkan Barang Kemas Bernilai Ratusan Ribu Dari Perut Wanita

India- Seorang wanita mengejutkan sekumpulan doktor yang melakukan pembedahan ke atasnya setelah mereka menemui sejumlah barangan kemas bernilai kira-kira RM 271,860 dari perut wanita tersebut.

Runi Khatun, 26 mengalami muntah-muntah setiap kali selepas makan, menyebabkannya menjadi lemah dan kurus ketika dihantar ke hospital pada 16 Julai lalu.

Hasil pembedahan, doktor berjaya mengeluarkan 69 utas rantai, 80 anting-anting, lapan loket, 11 subang tindik hidung, empat kunci, lima rantai kaki dan satu muka jam dari abdomennya.

Ibu wanita berkenaan berkata, dia menyedari kehilangan barang kemasnya namun tidak terfikir anaknya yang menelan barangan tersebut.

Tambahnya, Runi akan menangis jika disoal tentang barangan yang hilang. Runi dikatakan turut mendapatkan syiling dari kedai abangnya.

Kredit: Daily Mail

Doktor berkata kebanyakan barangan tersebut diperbuat daripada tembaga dan kuprum, namun ada perhiasan emas mahal yang turut ditemui dalam perut wanita tersebut.

Ketua Jabatan Pembedahan di Kolej Perubatan dan Hospital Kerajaan Rampurhat, Dr. Siddhartha Biswas berkata, wanita itu kelihatan lemah dan kurus ketika dimasukkan ke hospital.

“Keadaannya sangat kritikal sehingga memerlukan lima botol darah. Dia tidak dapat mengambil makanan secara fizikal sehingga kami perlu pindahkannya ke unit Total Patenteral Nutrition (TPN) untuk menyuntik makanan ke dalam mulutnya.”

Keadaan Runi yang kritikal membuatkan doktor tidak dapat melakukan pembedahan ke atasnya serta merta. Mereka terpaksa memastikan keadaannya stabil sebelum menjalankan pembedahan satu minggu kemudian.

Sebelum ini, seorang lelaki berusia 30 tahun di Madhya Pradesh mengadu sakit teruk pada bahagian abdomen sebelum imbasan sinar X menunjukkan terdapat pisau dan pemutar skru di dalam perutnya.

Dalam insiden yang sama pada bulan Mei, seorang lelaki di Rajasthan dilaporkan menelan 116 batang paku sehingga perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bahan asing tersebut.

Kes serupa turut berlaku pada tahun lepas di Gujarat apabila doktor bedah menjumpai kira-kira 1.36 kilogram besi termasuk bolt dan barang kemas di dalam perut seorang wanita.

Pica Disorder

Gambaran Pica Disorder. (Kredit: Eating Disorders)

Perbuatan memakan objek yang tidak boleh dihadam dikenali sebagai Acuphagia. Ia merupakan sebahagian daripada kecelaruan psikologi yang menjejaskan selera seseorang individu dikenali sebagai Pica disorder.

Individu yang mengalami keadaan ini akan mempunyai keinginan untuk memakan objek yang tidak mempunyai atau kurang nilai nutrisi.

Antara objek yang dimakan termasuklah batu, pasir, cat, kotoran, kaca, besi, rambut dan bedak talkum.

Keadaan ini sering berlaku dalam kalangan mereka yang mengalami masalah pembelajaran dan ibu-ibu hamil.

Keadaan ini boleh membahayakan si pemakan akibat komplikasi oleh objek yang beracun atau tidak boleh dihadam.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.