Siakap Keli
Gambar hiasan.

Pernah Terfikir Macam Mana Teka-Teki Zaman Dulu? Jom ‘Pecahkan Kepala’ Dengan Teka Teki Tahun 1918

Warisan merupakan identiti dan jati diri sesebuah bangsa dan negara. Bahkan, ada negara yang menjadikan warisan kebudayaan mereka sebagai sumber ekonomi negara dengan ‘menjual’ dan mempopularkan warisan tersebut.

Contohnya, gelombang Hallyu yang merangkumi industri seni hiburan, pelancongan dan makanan Korea. Setakat 2017, gelombang Hallyu mempunyai lebih 73.12 juta pengikut dari 92 negara di seluruh dunia yang terdiri daripada peminat drama, muzik, makanan dan budaya negara tersebut.

Industri hiburan merupakan strategi kerajaan Korea untuk menjana ekonomi di samping mengetengahkan kebudayaan mereka. Buktinya kini, kebanyakan kita tahu apa itu kimchi, ramen dan maksud anyeonghaseyo walaupun tidak meminati drama atau muzik mereka.

Selain itu, banyak karya seni moden Korea menyelitkan unsur tradisi seperti pemakaian baju Hanbok dalam video muzik, tarian berdasarkan gerakan Tae Kwon Do dan drama sejarah yang meraih penonton dari seluruh pelosok dunia.

Hal ini mengingatkan kita supaya tetap menjaga dan menghargai warisan kebudayaan seiring dengan kemodenan negara kerana ia adalah jati diri kita.

Teka-Teki 1918

Golongan terdahulu terkenal dengan seni bahasa yang berilhamkan alam sekitar. Hal ini terzahir dalam pepatah-pepatah Melayu lama dan prosa klasik yang cukup dalam maknanya.

Bagaimana pula dengan teka-teki orang lama? Jom kita uji fikiran dengan kompilasi teka-teki Melayu lama dalam buku Long Chair Malay oleh O. T. Dussek.

1. Terlupa dibawa, teringat dibuangkan

2. Orang tua kuat menjahit

3. Lima di luar, lima di dalam

4. Satu busut berlubang tujuh

5. Ditutup sebesar kuku, dibuka sebesar alam

6. Kita toleh, dia lari / Dirasa ada, dipandang tiada

7. Kura-kura panjat dinding

8. Naik kuda, tabur bunga

9. Beranak dahulu, kemudian bunting

10. Semua lautan boleh diduga, apa lautan tak boleh diduga?

11. Hempas di batu tidak pecah, hempas di air, pecah

12. Berjalan setapak tertawa, berjalan setapak tertawa

Jawapan

1. Kemuncup

2. Kemuncup; pergerakan membuang kemuncup seperti menjahit

3. Manggis; tanda di bawah manggis menunjukkan jumlah ulas isi manggis di dalam

4. Kepala; satu kepala, 2 lubang mata, 2 lubang hidung, 2 telinga dan 1 mulut

5. Mata; mata apabila ditutup hanya sebesar kuku, tapi apabila dibuka, kita dapat melihat seluas alam, saujana mata memandang

6. Telinga; kita tidak dapat lihat telinga sendiri tanpa cermin

7. Kuali; sering disangkut pada paku di dinding, kelihatan seperti cangkerang kura-kura

8. Kukuran; tunggang kukuran seperti kuda ketika memarut kelapa

KUKURAN KELAPA

9. Padi; anak pokok padi ditanam terlebih dahulu sebelum padi bunting (berisi) dan boleh dituai

10. Hati perut manusia

11. Kertas

12. Jantung pisang; apabila kulit jantung pisang dibuka selapis demi selapis, ia berbunyi seakan-akan orang berjalan menggunakan terompah kayu, bunga pisang di dalam pula seperti barisan gigi orang yang ketawa menampakkan gigi tersusun rapi

Jadi macam mana? Mendalam kan maksud teka-teki orang lama? Tampak jelas sekali betapa telitinya mereka memerhati persekitaran. Jika anda inginkan lebih lagi teka-teki lama, anda boleh baca di dalam buku Long Chair Malay.

Sumber: Ajar, Long Chair Malay, Korea.net

Amira

Love yourself.