Siakap Keli
Gambar: Twitter

11 Notis Larangan Dikeluarkan, Lif Tidak Selamat Digunakan

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos (Bernama) — Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu mengeluarkan 11 notis larangan serta merta dan lapan surat arahan kepada pemilik lif atau premis bangunan di negeri ini dari Januari sehingga Julai ini.

Pengarahnya, Mohd Zahari Hitam berkata, notis larangan dan surat arahan itu dikeluarkan selepas JKKP menjalankan pemeriksaan ke atas semua 487 unit lif di seluruh bangunan di negeri ini termasuk 23 unit lif di Projek Perumahan Rakyat di seluruh negeri.

“Antara masalah yang dikenal pasti terhadap lif-lif itu adalah alat peranti keselamatan dalam lif yang tidak berfungsi dengan baik dan pemilik lif atau premis bangunan diarah melakukan pembaikan atau penggantian dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Cegah Kemalangan Ke Atas Tapak Bina di sini, hari ini.

Lif yang didapati tidak berfungsi dengan baik sehingga diberikan notis larangan dan surat arahan itu turut melibatkan lif di bangunan jabatan kerajaan dan premis swasta.

Selain pemeriksaan tahunan secara menyeluruh oleh JKKP untuk mendapatkan Sijil Perakuan Kelayakan (CF), lif perlu diperiksa setiap tiga bulan oleh pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan lif bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Dalam perkembangan lain, JKKP sehingga kini telah melakukan pemeriksaan ke atas 21 tapak binaan melalui Operasi Cegah Kemalangan ke Atas Tapak Bina yang dijalankan bermula 14 Julai dan akan berakhir pada 14 Ogos nanti.

Sehingga ini, 53 notis larangan serta merta untuk menyita dan menghentikan pelbagai aktiviti yang berisiko tinggi di tapak binaan, 12 notis penambahbaikan dan 32 surat arahan dikeluarkan kepada kontraktor bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

Mohd Zahari berkata, melalui operasi kali ini juga, 20 kertas siasatan dibuka bagi tujuan kompaun dan pendakwaan atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang.

“Operasi kali ini di tapak binaan lebih menumpukan kepada aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit kerana kita dapati banyak berlaku kejadian pekerja jatuh dari tempat tinggi,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa