Siakap Keli

Henti Spekulasi Kehilangan Remaja Ireland

Muar : Semua pihak perlu berhenti membuat spekulasi sendiri mengenai kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang berusia 15 tahun di The Dusun, Pantai, Nilai, sejak Ahad lepas.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tanggapan yang mendakwa remaja itu menjadi mangsa diculik adalah tidak tepat bahkan dibimbangi akan menimbulkan salah faham, serta boleh menganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

”Jangan memandai-mandai. Pakailah kenyataan rasmi yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Lebih-lebih lagi kejadian ini melibatkan warga asing. Apa orang lain kata itu tidak penting, kerana polis yang lebih tahu apa yang berlaku. Supaya siapa pun yang datang ke negara kita selamat dan tidak menghadapi masalah.

”Saya diberitahu Timbalan Ketua Polis Negara, setakat ini kes berkenaan dianggap sebagai ‘missing person’ dan kita tidak anggap ada pihak lain terlibat. Remaja ini berusia 15 tahun dan apa yg dilaporkan bapanya dia tidak seperti kanak-kanak biasa,” katanya kepada sumber selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Bandar Universiti Pagoh, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan kekuatan lebih 150 anggota termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta penduduk tempatan.

Ahad lepas, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi. Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran. Berita kehilangan remaja berkenaan turut disiarkan oleh media antarabangsa.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai kes penculikan seperti dilaporkan media asing.

Katanya tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan itu kini memasuki hari ketiga.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata perlu ada konsultasi daripada pelbagai pihak agar semuanya berpuas hati dalam pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular.

”Sewajarnya ada konsultasi dan juga input pandangan yang kita kena ambil daripada bukan sahaja persatuan atau pertubuhan bahkan ibu bapa dan sebagainya. Paling penting asalkan ianya tidak membebankan.

”Persoalan sama ada mahu menjadikan ianya sebagai suatu subjek wajib atau pilihan terserah kepada Kementerian Pendidikan dan sudah tentu mereka sudah meneliti dan mengkajinya,” kata Muhyiddin yang juga bekas menteri pendidikan.

Beliau mengulas pengumuman oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini mengenai penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.