Siakap Keli
Gambar: Tekno Tempo.co

Kenapa Manusia Tepuk Tangan? Ini Sebab Yang Ramai Tak Tahu

Setiap kali menjengah ke mana-mana konsert ataupun pertunjukan persembahan, penonton pastinya melakukan amalan kebiasaan iaitu bertepuk tangan terutamanya sejurus persembahan tamat. Perbuatan ini bukan sahaja dilakukan di dalam negara ini sahaja, malah turut diamalkan di seluruh dunia. Tambahan lagi, ia juga turut diamalkan oleh semua peringkat umur manusia.

Kenapa begitu?

Perbuatan menepuk tangan ini dilihat sebagai salah satu cara untuk menyatakan penghargaan terhadap sesuatu persembahan yang dinikmati atau sesuatu yang membawakan unsur positif kepada seseorang. Ianya juga dianggap sebagai perbuatan untuk memaparkan reaksi suka dan bangga kepada orang lain. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya sesuatu tempat seperti bangunan dewan atau stadium gemuruh dengan tepukan tangan daripada penonton kerana mereka sedang menikmati sesuatu persembahan yang menyenangkan.

Gambar: Eye Em

Perbuatan menepuk tangan ini boleh dikatakan dilakukan pada setiap hari setiap kali melihat sesuatu yang menyenangkan. Namun begitu, pernahkah kita terfikir mengapa kita bertepuk tangan untuk menzahirkan rasa gembira atau bangga di dalam diri ?

Tabiat Sejak Bayi

Sebagai seorang bayi, golongan ini sangat gemar akan perbuatan yang dapat menghasilkan bunyi. Adakalanya, ibu bapa mengambil pendekatan untuk menepuk tangan ketika bermain dengan bayi mereka. Dengan perbuatan tersebut, bayi mereka sudah pastinya akan menunjukkan keghairahan dan tertawa akan bunyi yang dihasilkan daripada tepukan tangan.

Disebabkan situasi ini, ibu bapa memilih untuk mengajar bayi mereka untuk bertepuk tangan supaya golongan ini dapat menzahirkan sendiri perasaan gembira mereka. Ianya sudah dijadikan tabiat sejak kecil untuk seseorang menyatakan kegembiraannya melalui tepukan tangan. Oleh itu, tidak hairanlah semua orang di atas muka bumi ini pernah melakukan perbuatan tersebut.

Gambar: HuffPost

Hasilkan Bunyi Sebagai Tanda Penghargaan

Selain daripada kepuasan melihat sesuatu persembahan, perbuatan bertepuk tangan juga dilakukan bagi menyatakan sokongan serta semangat kepada orang lain. Menerusi perbuatan tersebut, seseorang itu akan rasa diberikan perhatian dan penghormatan sebelum menyampaikan sesuatu perkara. Tambahan lagi, terdapat juga golongan yang percaya bahawa tepukan tangan adalah bersifat kemanusiaan.

Sebagai contoh, Profesor Bella Itkin dari Teater Sekolah DePaul University telah mengangkat satu teori bahawa bunyi yang dihasilkan dapat menzahirkan sesuatu penghargaan kepada seseorang. Ianya dapat dilihat menerusi aktiviti bercerita dihadapan unggun api dan diselangi dengan bunyi-bunyi yang dihasilkan menerusi hentakan drum dan juga hentakan kaki. Oleh itu, dia mempercayai bahawa tepukan tangan sebagai tanda penghargaan juga bermula dari situ.

Gambar: Stock Clips

Sejarah Awal Tepukan Tangan

Perbuatan tepukan tangan untuk menyatakan sesuatu penghargaan dipercayai berasal dari sebuah pementasan orang Roman pada tahun 3rd Bc, hasil penulisan penulis terkenal, Plautus. Bagi setiap persembahan, Plautus akan mengarahkan salah seorang daripada pelakon untuk berdiri dihadapan menghadap penonton dan berkata ‘valete et plaudite’ yang membawa maksud ‘selamat tinggal dan berikan penghargaan anda’.

Berdasarkan arahan tersebut, penonton yang terhibur akan memberikan reaksi bertepuk tangan dengan menemukan kedua-dua tapak tangan mereka bagi menghasilkan bunyi. Oleh itu, bunyi tepukan yang gemuruh akan terhasil sebagai salah satu penghargaan terhadap usaha para pelakon memberikan persembahan yang terbaik.

Selain daripada bertepuk tangan, para penonton juga akan menggambarkan penghargaan mereka dengan cara memetik jari atau menghentakkan kaki bagi menghasilkan bunyi yang gemuruh. Walaubagaimanapun, tepukan tangan dilihat sebagai salah satu kaedah yang berkesan bagi menzahirkan penghargaan.

Gambar: Medium

Sumber: Today I Found Out

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra