Seminggu lalu menyaksikan saat bermakna buat Zulkarnain Idros, bapa Allahyarham Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman yang bersujud syukur setelah mendengar keputusan mahkamah yang memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dituduh terlibat dalam kes kematian anaknya itu untuk membela diri.
Tidak terhenti di situ, netizen terus ‘menggali dalam’ kes-kes terdahulu yang didakwa pernah terjadi di universiti berkenaan. Dan dari situlah muncul kembali kisah Amirul Nashriq yang pernah dilaporkan meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di Air Terjun Chamang, Bentong pada 24 Mac 2018. Lebih pilu apabila namanya mula menghiasi semula media sosial pada bulan kelahirannya sendiri iaitu Ogos.
Satu demi satu persoalan mahupun persepsi timbul yang membawa kepada satu konklusi yang mendakwa bahawa kematian Amirul bukan disebabkan lemas tetapi kerana didera.




Malah sebelum ini pihak keluarga allahyarham Amirul Nashriq pernah menuntut keadilan tentang kematiannya yang didakwa ada unsur penderaan sebelum mangsa meninggal dunia. Bapa Amirul, Othman Yusoff ada menyatakan bahawa keluarganya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan serta laporan bedah siasat allahyarham.
“Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas, sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat hantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior,”
Dalam pada itu, menurut kakak Amirul, Norzulaikha Othman, laporan polis kedua telah dibuat pada 6 Ogos lalu atas nasihat peguam yang mereka jumpa sebelum ini.
Sedih ni bukan dibuat-buat, hanya yang merasa akan faham perasaan kami. Ramai yang berasa kagum kerana kami kuat tapi ramai juga yang tak tahu berapa kali kami pernah berputus asa.
Saya sedih bila mak ayah saya dilayan sebelah mata hanya kerana kami dari keluarga biasa2, tiada pangkat, tiada harta. Harta kami hanyalah sebuah keluarga yang bahagia tapi langit tu tak selalunya cerah, kami redha.
Apa yang kami tak pernah kena? Dimaki pihak tertentu kerana mahu meminta tolong? Dipandang serong konon mengejar duit dan nama? Tapi kami tetap kuat, kami bangkit untuk lawan demi Yayoi.
Mungkin ada di antara kita tak pernah rasa rindu yang teramat, rindu sampaikan baca Yaasin sambil tengok gambar arwah, rindu sampai menangis tiap malam sebelum terlena, rindu sampai termimpi-mimpikan dia.
Kami dari keluarga sederhana dan sudah banyak berhabis masa, tenaga dan duit sebelum ini untuk mencari peguam namun usaha kami gagal. Sekiranya ada pihak yang bermurah hati ingin menghulurkan bantuan dari segi kewangan, kami amat alu-alukan. Boleh berhubung terus menerusi facebook kakak Allahyarham untuk hulurkan bantuan. Norzulaikha Othman
InshaAllah, dana ini akan kami gunakan dalam usaha mencari dan membayar peguam yang sanggup menerima kes ini. Hari ini kita tolong orang, mana tau esok lusa, orang pula akan tolong kita.
Saya wakil pihak keluarga, mengucapkan jutaan terima kasih pada rakyat Malaysia yang prihatin dan memberi sokongan moral kepada kami untuk terus kuat. Sudilah sekiranya sedekahkan Al-Fatihah dan Surah Yaasin untuk arwah dan semua yang telah meninggalkan kita, bila tiba masa kita pula yang akan menyusul, dalam keadaan baiklah hendaknya, Assalamualaikum.
Rujukan
[1] Razif Rosli. 2018. Dipetik dari Saya mahu tuntut keadilan untuk Amirul Nashriq – Bapa. Pada 8 Ogos 2019
Sumber: Norzulaikha Othman