Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Kongsi Trauma Hidup, Kisah Wanita Sweden Di Malaysia Curi Tumpuan Ramai
Umum diketahui, Malaysia sememangnya tidak asing sebagai destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia.
Ada yang datang untuk belajar, ada yang bekerja, dan tidak kurang juga yang sekadar mahu bercuti seketika, lari daripada kesibukan hidup.
Tapi siapa sangka, Malaysia juga menjadi 'penawar' bagi sesetengah individu sehingga akhirnya memilih bumi bertuah ini sebagai rumah kedua.
Baru-baru ini, perkongsian seorang wanita Sweden yang kini menetap di Malaysia mencuri perhatian ramai di TikTok. Dalam videonya, wanita ini mendedahkan kisah hidupnya yang penuh trauma sejak kecil.
Lebih menarik, wanita ini berkongsi bagaimana kehidupan di Malaysia membantunya bangkit daripada masalah "depression" yang bertahun-tahun menghantui.
Dalam perkongsian jujurnya, wanita itu mendedahkan bahawa dia sudah bergelut dengan masalah kesihatan mental sejak usia 13 atau 14 tahun.
Katanya, keadaan itu datang dalam pelbagai bentuk, dari masalah depression, anxiety (keresahan) sehinggalah eating disorder (gangguan pemakanan). Lebih teruk, dia mengakui juga pernah cuba untuk mencederakan diri sendiri.

Berkongsi secara ringkas tentang latar belakang hidupnya, wanita ini mengakui masa kecilnya dipenuhi dengan episod kelam yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.
"Saya membesar di Romania, di Eropah Timur. Kami sangat miskin dan saya membesar tanpa figura seorang ayah. Masa kecil saya sangat tak stabil. Kami sering berpindah rumah. Sebelum umur 10 tahun, saya rasa kami dah pindah hampir 10 kali.
"Kemudian, ibu saya berkahwin dengan lelaki lain (bukan ayah kandung saya) dan hubungan mereka sangat toksik. Mereka selalu bergaduh dan mengancam untuk bercerai.
"Semua ini buat saya ada pandangan negatif tentang hubungan, dan ia memberi kesan kepada saya ketika dewasa," kongsinya.
Pada usia 19 tahun, wanita ini berpindah ke Sweden untuk belajar. Namun, dia mendedahkan kehidupan di sana membuatkan kesihatan mentalnya semakin merosot.
"Sweden sangat, sangat buruk untuk kesihatan mental saya. Orang di sana agak dingin dan tidak mesra. Sangat sukar untuk saya berkawan atau berhubung dengan orang lain.
"Anda juga perlu mengikut norma tertentu. Jika anda berbeza, orang tidak begitu suka. Saya sentiasa rasa perlu berpura-pura menjadi orang lain hanya untuk diterima," katanya.
Kemudian, dia menyertai program pertukaran pelajar di Singapura. Walaupun sedikit lebih baik berbanding di Sweden, Singapura tetap tidak terasa seperti 'rumah'.
Ujarnya, segalanya berubah apabila dia berpindah ke Malaysia.

"Saya tak nak kata hanya negara ini (Malaysia) yang menjadi sebab saya sembuh. Saya juga makan ubat dan pergi terapi.
"Tetapi sikap santai di Malaysia benar-benar membantu saya mengatasi depression. Saya tidak melebih-lebih.
"Di Singapura, orang masih sangat tertekan dan semua orang sibuk bekerja tanpa henti. Di Malaysia, suasananya jauh lebih santai. Orang hanya mahu berehat, berseronok, dan menikmati hidup. Sikap orang di sini lebih baik daripada mana-mana negara yang pernah saya lawati.
"Sejujurnya, perkara paling besar ialah keramahan orang di sini. Anda rasa sangat dialu-alukan dan seperti berada di rumah sendiri, sesuatu yang saya tidak pernah rasakan sebelum ini," katanya.
"Saya baru-baru ini beritahu suami saya, 'Saya rasa ini kali pertama saya gembira sejak umur 13 tahun'," tambahnya.
Dalam video itu, dia turut berkongsi beberapa perkara yang membantunya bangkit, sebagai inspirasi kepada orang lain yang sedang bergelut secara senyap.
"Pertama, jumpa ahli terapi. Saya tahu ia mungkin dilihat sebagai lemah atau tidak dinormalisasikan. Tetapi sejujurnya, tiada apa yang membantu sebanyak terapi. Dan jika ahli terapi pertama tidak sesuai, cari yang lain. Jika anda ada kaunselor atau terapis di sekolah, itu juga boleh sangat membantu.
"Kedua, kelilingi diri dengan orang yang positif. Anda tidak perlukan negatif dalam hidup. Anda sudah pun bergelut. Anda perlukan orang yang menyokong, positif dan membuat anda rasa diterima," katanya.