Siakap Keli

Kerajaan Persekutuan Dan Negeri Sediakan Peruntukan Untuk Baik Pulih Rumah Mangsa Ribut

KUALA SELANGOR, 14 Ogos – Kerajaan Persekutuan dan negeri akan menyediakan peruntukan bagi membaiki 488 buah kediaman di  dua daerah di Selangor, yang rosak akibat ribut, Sabtu lepas.

Pegawai Khas (Ekonomi), Pejabat Timbalan Perdana Menteri Ameer Ali Vali Mohamed (he) berkata buat masa ini pihaknya dalam proses menilai kerosakan kediaman di kawasan terbabit sebelum berbincang dengan kerajaan Selangor bagi tujuan menyediakan peruntukan tersebut.

“Kita wakil dari pihak pejabat TPM (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini turun padang ke daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor di sini untuk melihat sendiri tahap kerosakan rumah penduduk yang dilanda ribut.

“Kita dimaklumkan di Sabak Bernam yang mana 443 buah rosak berada pada tahap (kerosakan) kritikal, manakala di Kuala Selangor daripada 45 rumah yang rosak hanya satu sahaja yang mengalami kerosakan kritikal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa lokasi kediaman yang rosak di dua daerah itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Zary Affendi Mohd Arif dan Ketua Penolong Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)(Bahagian Komuniti dan Sosial) Mohd Khairi Abd Ghani.

Ameer Ali berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta Kuala Selangor dan Nadma, bagi membuat penilaian setiap kerosakan kediaman tersebut.

Sementara itu, Mohd Zary Affendi berkata Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor (MDKS) telah menggerakan pasukan jurutera jabatan itu untuk menilai setiap kerosakan rumah penduduk yang terjejas di kawasan berkenaan.

“Pejabat Daerah di kawasan terjejas telah diarahkan untuk mengumpulkan maklumat berhubung aduan kerosakan rumah penduduk.

“Jadi kita akan kumpulan maklumat dan dapatan kita untuk kita bentangkan di dalam mesyuarat  Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok, bagi memudahkan kerajaan Persekutuan dan negeri menyediakan peruntukan bagi membaik pulih rumah-rumah ini, ” katanya.

Sabtu lepas, ratusan kediaman di sekitar dua daerah itu termasuk di kawasan Sungai Besar,  Sekinchan dan Tanjong Karang dilaporkan telah rosak teruk akibat ribut berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)