Siakap Keli
Gambar: CityLab

Sikap ‘Penyibuk’ Setiap Kali Kemalangan, Rupanya Ia Tindak Balas Otak Manusia

Boleh dikatakan pada setiap hari terdapat kemalangan yang berlaku di atas jalan raya. Kemalangan ini yang disebabkan oleh pelbagai faktor secara tidak langsung akan menjejaskan pergerakan lalu lintas dalam beberapa tempoh masa. Mana tidaknya, kemalangan yang melibatkan kenderaan membuatkan sekurang-kurangnya satu lorong ditutup disebabkan kerosakan ataupun kecederaan yang dialami oleh mangsa kejadian.

Selain itu, pergerakan lalu lintas juga boleh menjadi perlahan disebabkan oleh tabiat pengguna jalan raya yang lain yang ingin melihat keadaan sebenar kemalangan tersebut. Tabiat melihat kepada kemalangan ini boleh dikatakan dimiliki oleh semua orang. Namun, pernahkah anda terfikir kenapa anda ingin melihat kemalangan tersebut walaupun menyedari bahawa perbuatan tersebut boleh menjejaskan perhatian anda ketika memandu.

Gambar: NBC Los Angeles

Tindak Balas Otak Manusia

Tabiat untuk melihat kepada kemalangan adalah disebabkan oleh pemikiran kita yang mempunyai sikap ingin tahu terhadap sesuatu kejadian. Ianya datang daripada sistem persepsi kita yang kemudiannya merangsang ‘amygdala’ iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab untuk emosi dan memori manusia.

Amygdala ini kemudiannya akan menghantar isyarat ke daerah korteks frontal kita untuk menganalisis dan mentafsirkan data. Setelah itu, otak akan menilai sama ada data tersebut merupakan ancaman kepada kita ataupun tidak. Disebabkan anda ingin mengetahuinya, sudah pasti anda secara tidak langsung akan melihat kepada sesuatu kejadian seperti kemalangan untuk mengumpulkan data yang seterusnya.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya kita mempunyai tabiat untuk melihat kepada kemalangan yang berlaku walaupun menyedari bahawa perkara tersebut boleh membahayakan dan juga mengganggu kelancaran lalu lintas.

Manusia Lebih Belajar Daripada Perkara Negatif Berbanding Positif

Melihat kepada kemalangan sebenarnya boleh menginsafkan diri kita kerana perasaan bimbang sekiranya turut terbabit dalam situasi yang sama pada masa akan datang. Selain itu, rasa takut yang menguasai diri akan membuatkan menjadi lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Pemikiran kita setiap kali melihat bencana akan lebih terarah kepada ketakutan kita tentang kesakitan, kematian dan juga perkara-perkara lain yang berunsurkan negatif. Walau bagaimanapun, ianya memberi manfaat kepada diri kita kerana boleh membuatkan kita berasa lebih berwaspada pada setiap langkah atau perbuatan yang dilakukan.

Oleh itu, jelaslah bahawa sudah menjadi lumrah manusia untuk belajar sesuatu daripada pengalaman yang negatif seperti kemalangan jalan raya yang dilihat. Menerusi pengalaman tersebut, kita pastinya akan berasa bimbang dan lantas memandu dengan lebih cermat.

Gambar: Vaaju

Rangsangan Rasa Simpati

Kebiasaannya, kemalangan jalan raya boleh menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama ada kecederaan ringan mahupun kecederaan parah. Perkara ini disebabkan hentakan atau perlanggaran yang berlaku ketika kemalangan.

Setiap kali melintasi sesuatu kawasan kejadian kemalangan, di dalam hati kita sudah pastinya terdetik rasa simpati terhadap mangsa keadaan. Namun, kita yang baru tiba ditempat kejadian masih tidak mengetahui dengan lanjut mengenai keadaan sebenar dan secara automatik akan melihat ke arah kemalangan tersebut.

Gambar: Suara Perak

Sumber: NBC News

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra