Siakap Keli
Gambar : Bernama

OP SAR Warga Singapura Hilang Berkayak Diperluas Hingga Perairan Kuala Terengganu

Kuala Terengganu :  Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing yang masuk hari ke-9 hari ini diteruskan dengan sektor pencarian sejauh 300 batu nautika persegi dari perairan Kemaman hingga ke Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, 60 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia  turut sama terlibat dalam usaha pencarian yang bermula pukul 8.00 pagi ini.

“Operasi SAR yang dikoordinasikan oleh APMM hari ini turut melibatkan aset laut sebanyak empat bot milik pelbagai agensi keselamatan.

“Waris mangsa serta wakil konsulat Singapura telah berada di jeti Zon Maritim Kemaman untuk mengetahui perkembangan terkini sepanjang usaha pencarian dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

APMM juga menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar segera menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.

Tan, 62, dan seorang lagi rakan senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 8 Ogos selepas kayak yang dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di Mersing, Johor berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Bagaimanapun, pada Rabu, mayat Puah ditemui di perairan Kuala Kemaman dan susulan penemuan itu , Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) telah diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman, sejak Khamis lepas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.