Siakap Keli

“Dengar Suara Wanita Mintak Tolong, Tapi Apakan Daya..” Jiran Kongsi Detik Tragis 3 Beranak Maut Dalam Kebakaran

“Makcik dengar seorang wanita menjerit meminta tolong, tapi apakan daya tiada kudrat untuk membantu, kerana api dah marak dengan cepat,”

“Menantu (lelaki) makcik secara kebetulan baharu bangun dari tidur terdengar bunyi bising, menyangka ada pencuri, tetapi apabila keluar rumah nampak api makin besar dan marak.

“Kami tak dapat nak tolong apa-apa cuma makcik hanya mampu menjerit minta tolong dengan jiran di sini, namun masa itu semua orang tengah tidur,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.51 pagi tadi, mangsa Mohd Sharidan Abdul Aziz dan isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an, serta anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia dalam lingkungan setahun, ditemui maut dalam sebuah bilik di rumah yang mengalami kebakaran.

Rabaiah berkata mangsa sekeluarga yang baharu berpindah di situ sejak Januari lalu merupakan jiran yang sangat baik, dan menganggap mereka sekeluarga seperti anaknya sendiri.

Sementara itu, bapa Mohd Sharidan, Abdul Aziz Mohd Idris, 58, berkata mangsa anak ketiga dari lima beradik itu memang rapat dengannya dan merupakan anak yang menyenangkan.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya semalam, kerana kebetulan rumah saya mengadakan kenduri bertunang anak saudara dan mangsa tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika itu.

“Sebelum dia (mangsa) pergi berniaga memang dia akan singgah di rumah dahulu dan boleh dikatakan hampir setiap hari kami bertemu.

“Saya sekeluarga menerima apa yang telah terjadi dan reda dengan kehilangan anak serta menantu dan cucu kami,” katanya.

Katanya pasangan suami isteri itu yang berniaga ayam goreng berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Besout dekat sini.

Difahamkan, kesemua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Slim di sini, selepas bedah siasat selesai dilakukan di Unit Forensik Hospital Slim River.

Sumber: Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)