Siakap Keli

(Video) Wanita Melecur, Sembilan Kedai Musnah Dalam Kebakaran Di Nilai 3

Seorang wanita melecur manakala sembilan buah premis perniagaan di kawasan Perindustrian Nilai 3 di sini, musnah dalam satu kebakaran awal hari ini.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Nilai Bakarya Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 9.15 pagi.

Katanya seramai 30 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Seremban 2, Mantin dan Seremban bergegas ke lokasi bersama tujuh jentera dan tiba di lokasi pukul 9.25 pagi.

“Kebakaran melibatkan sembilan kedai berukuran 20 X 70 termasuk kedai runcit, kedai karpet, kedai perabot, kedai makan dan kedai lampu.

“Pihak kami mengambil masa 30 minit bagi mengawal kebakaran rumah kedai agar tidak merebak ke kedai bersebelahan, Kebakaran dapat dipadamkan setengah jam kemudian. Bagaimanapun, operasi membuat kerja-kerja ‘smoke management’ dengan menjalankan ‘vertical ventilation masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Bakarya  berkata mangsa Sim Pei Shi, 29, melecur tiga peratus di bahagian lengan, tangan kiri dan luka di bahagian kepala.

“Mangsa telah diberi pra-rawatan di tempat kejadian oleh pihak bomba dan pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ).

“Berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian Malim Pontin, 58, yang merupakan pekerja kedai runcit, ketika sedang membuka kedai tersebut, satu letupan kecil berlaku di kotak fius dan api marak terlalu cepat.

“Beliau bersama rakan yang lain cuba padamkan api dengan menggunakan alat pemadam api  tetapi tidak berjaya lalu meminta orang ramai menghubungi talian kecemasan mers 999 bagi meminta bantuan pihak bomba,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)