NIBONG TEBAL, 25 Ogos – Mayat seorang lelaki tanpa pakaian ditemukan terapung dalam Sungai Ketupat, Bukit Tambun dekat di sini hari ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad.
Katanya, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan oleh seorang lelaki yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 9 pagi.
“Mayat itu ditemukan terapung tanpa pakaian dan mempunyai tatu di bahagian belakang badan namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya,” katanya.
Katanya orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Sumber: BERNAMA