Siakap Keli
Kredit: The Cambridge Counsellor

Pelajar Tingkatan Satu Bunuh Diri Sebab Tertekan, Banyak Kerja Rumah

Georgetown, 25 Ogos – Seorang pelajar tingkatan satu menamatkan riwayatnya setelah mengadu tertekan dengan tugasan sekolah yang banyak.

Bapa mangsa menemui pelajar berkenaan tergantung pada tuala di dalam bilik air rumah mereka di Jalan Paya Terubung, Taman Sri Relau di sini pada Sabtu lalu.

Menurut ketua polis daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang, pelajar itu masuk ke bilik air untuk mandi, namun tidak keluar-keluar setelah 30 minit kemudian, membuatkan bapanya mengambil keputusan untuk memecahkan pintu pada jam 10.55 malam.

“Lelaki tersebut menemui anaknya tergantung pada tuala dan membawa anaknya turun. Dia cuba memberi bantuan kecemasan kepada si anak yang muntah kemudiannya.

“Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang menaiki ambulan tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Polis menolak kemungkinan jenayah,” kata Che Zaimani dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, ibu bapa pelajar berkenaan memberitahu mangsa yang merupakan anak bongsu dari dua beradik sering mengadu tertekan mempunyai banyak kerja rumah.

“Pada malam kejadian, ibu mangsa menyuruh mangsa menyiapkan kerja rumah setelah mendapat panggilan telefon dari guru yang memaklumkan pelajar itu tidak menyiapkan tugasan,” katanya.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunggu laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tersebut.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana sepatutnya sekolah menjadi tempat yang gembira untuk pelajar menimba ilmu selain memupuk kasih sayang. Tetapi bila sampai tahap dapat tekanan, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, buat masa ini masih terlalu awal untuk buat apa-apa kerana kita masih sedang tunggu laporan siasatan polis dan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok yang terjejas akibat ribut Lekima baru-baru ini.

Hasil siasatan mendapati remaja terbabit dikatakan kurang berminat untuk belajar selain prestasi pelajarannya yang agak lemah termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak.

Ketika diminta mengulas kenyataannya dalam laman sosial Twitter mengenai kerajaan akan memastikan semua anak yang hadir ke sekolah mulai 2020 dilengkapi dengan sarapan, Dr Maszlee berkata program itu akan dimulakan pada tahun hadapan.

“Program makanan percuma ini adalah untuk semua pelajar dan konsepnya adalah kita mahu pastikan semua anak mendapat makanan yang berkhasiat kerana kita mahu bina generasi yang sihat, mendapat zat makanan cukup bagi mendapatkan otak yang cerdik.

“Program ini juga membolehkan pelajar menguasai sivik di mana pelajar akan duduk makan dengan guru, belajar adab makan yang betul termasuk lepas makan kena basuh peralatan sendiri di mana semua ini dapat melatih disiplin mereka dengan lebih baik,” katanya.

Mengenai tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menghalang anak mereka mendapatkan pendidikan sebagai tanda protes terhadap pelajaran jawi di sekolah, Dr Maszlee berkata NGO serta masyarakat sepatutnya menggalakkan anak untuk pergi ke sekolah dan bukan sebaliknya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.