Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerja Rumah Buat Saya Lebih Sibuk Berbanding PM Lelaki - PM Jepun

Lebih sibuk berbanding PM Lelaki
Kredit: AFP

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata beliau berkemungkinan menghabiskan masa tiga hingga empat jam lebih lama berbanding perdana menteri lelaki sebelum ini untuk menguruskan kerja rumah, selain memenuhi jadual harian yang padat, lapor AFP.

Lebih sibuk berbanding PM lelaki

Takaichi, yang dipilih tahun lalu sebagai wanita pertama memegang jawatan perdana menteri Jepun, berkata demikian ketika berucap di Parlimen pada Rabu.

“Pada waktu pagi, saya mandi, menyediakan sarapan dan kemudian membasuh pinggan, belum termasuk bersolek,” katanya.

“Saya merasakan bahawa saya menghabiskan masa tiga hingga empat jam lebih lama berbanding perdana menteri lelaki untuk melakukan semua perkara ini,” katanya.

Takaichi yang mengakui dirinya seorang yang terlalu kuat bekerja sebelum ini pernah mendedahkan bahawa beliau hanya tidur antara dua hingga empat jam setiap malam.

Beliau juga pernah menjadualkan mesyuarat bersama kakitangannya seawal jam 3 pagi.

Di Jepun, pembahagian peranan berdasarkan jantina masih ketara, manakala wanita terus kurang diwakili dalam politik negara itu.

Pada pilihan raya Dewan Rendah Jepun pada Februari lalu, hanya 68 wanita dipilih daripada keseluruhan 465 kerusi yang dipertandingkan.

Perbincangan mengenai pengurusan masa Takaichi timbul selepas seorang anggota gabungan pemerintah membangkitkan isu tempoh panjang yang lazimnya dihabiskan perdana menteri Jepun untuk menghadiri persidangan Parlimen.

Kebiasaannya, pemimpin Jepun menghabiskan antara lima hingga tujuh jam sehari di Parlimen untuk menjawab soalan daripada anggota pembangkang atau menghadiri persidangan.

Memetik satu kajian, anggota Parti Inovasi Jepun, Fumitake Fujita berkata pada 2022, perdana menteri Jepun menghadiri persidangan Parlimen selama 72 hari, berbanding 50 hari di United Kingdom dan 13 hari di Jerman.

Walaupun mengakui kepentingan perbahasan perundangan, Fujita berkata tempoh panjang yang perlu diluangkan pemimpin negara di Parlimen tidak selari dengan amalan di peringkat antarabangsa.

Dalam satu hantaran di platform X pada Julai lalu, Takaichi berkata beliau terpaksa berjaga sehingga awal pagi untuk meneliti dokumen yang dibawa pulang dari tempat kerja serta bahan berkaitan soalan Parlimen.

“Saya memang gemar membaca timbunan dokumen yang dibawa pulang pada tengah malam,” katanya pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan itu menyukarkannya mencari masa untuk berfikir secara mendalam dengan fikiran yang segar mengenai hala tuju masa depan Jepun serta visi besar yang ingin direalisasikan untuk negara itu.

Intipati
  • Takaichi berkata kerja rumah menambah tiga hingga empat jam kepada rutin hariannya.
  • Beliau mengakui sering tidur dua hingga empat jam dan pernah bermesyuarat jam 3 pagi.
  • Isu itu dibangkitkan bersama tempoh panjang perdana menteri Jepun menghadiri persidangan Parlimen.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan