Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Macam Di Jepun...” Lelaki Indonesia Puji Suasana Kampung Di Malaysia, Kagum Bersih Dan Rapi

“Macam Di Jepun...”
Kredit: Tiktok @taufikhidayat69838

Bagi sesetengah orang, suasana kampung mungkin dianggap biasa kerana sudah sebati dengan kehidupan seharian.

Namun, bagi mereka yang datang dari tempat lain, suasana tenang, bersih dan kehijauan di kawasan kampung boleh menjadi sesuatu yang cukup mengagumkan.

Itulah yang dirasai seorang lelaki dari Indonesia ketika berkunjung ke sebuah kampung di Malaysia.

“Macam di Jepun...”

Menerusi perkongsian video di Tiktok @taufikhidayat69838, dia menyifatkan suasana di kampung berkenaan begitu sejuk, bersih, kemas dan indah hingga membuatkannya teringat akan suasana di Jepun.

“Kenapa ya, kalau kita berada di kampung-kampung itu rasanya sejuk, tenang, nyaman. Sekarang aku berada di kampung-kampung negara Malaysia dan seperti yang kalian lihat, beginilah suasananya. Sejuk, bersih, rapi, indah dipandang.

Kredit: Tiktok @taufikhidayat69838

“Aku rasa sudah macam di Jepun. Nampak dia bersih macam di Jepun, cuma bezanya di Jepun ada salji,” katanya.

Kagum dengan kebersihan kampung

Menurut lelaki itu, suasana bersih dan teratur yang dilihatnya di kampung tersebut membuatkan kawasan berkenaan kelihatan lebih menyenangkan untuk didiami.

Dia turut menyebut tentang amalan gotong-royong yang dilakukan penduduk pada hujung minggu bagi menjaga kebersihan serta kawasan persekitaran kampung.

“Kenapa bersih? Sebab orang sini setiap Sabtu Ahad gotong-royong, bersihkan rumput. Orang Melayu bilang cuci mata, jadi enak dipandang,” katanya.

Kredit: Tiktok @taufikhidayat69838

Katanya, suasana di kampung sememangnya berbeza berbanding kawasan bandar yang lebih sibuk.

Kagum halaman rumah luas

Selain kebersihan, perkara lain yang menarik perhatiannya ialah saiz halaman rumah di kawasan kampung yang disifatkannya sangat luas.

Malah, ada halaman rumah yang dianggapnya hampir sebesar gelanggang badminton, sekali gus memberi ruang kepada penduduk untuk menanam pokok dan bunga.

“Aku hairan, rumah-rumah sini luas kali halamannya. Sudah macam lapangan badminton.

“Tapi sesuailah, mungkin sebab itu mereka boleh tanam pokok, tanam bunga, jadi sejuklah nampak,” katanya.

Menurutnya, keadaan tersebut mungkin dipengaruhi oleh harga tanah yang lebih rendah di kawasan kampung berbanding di bandar, sekali gus membolehkan rumah dibina dengan kawasan halaman yang lebih luas.

Lebih selesa tinggal di kampung

Dalam perkongsian sama, lelaki itu turut membandingkan kehidupan di kampung dengan suasana di bandar.

Baginya, kehidupan di kampung lebih nyaman dan tenang kerana penduduk dapat menikmati udara segar serta persekitaran yang lebih hijau.

“Menurutku memang tinggal di kampung itu lebih nyaman, tenang dibanding di bandar. Setuju tak kalian kalau di kampung-kampung kalian hirup udara segar, kalau di kota-kota banyak polusi?” katanya.

Dia turut memuji masyarakat Malaysia yang disifatkannya sebagai cukup berdisiplin dalam memastikan kawasan persekitaran sentiasa tersusun dan bersih.

Kredit: Tiktok @taufikhidayat69838

“Aku lihat orang Malaysia ini memang sangat berdisiplin, sebab itu di mana-mana tempat semuanya tersusun rapi dan bersih,” katanya.

Di akhir perkongsian, dia turut menitipkan pesanan kepada mereka yang berada di perantauan supaya tidak melupakan suasana kampung halaman masing-masing.

“Untuk kalian yang ada di rantau-rantau, rindu tak suasana kampung sendiri? Semoga kampung-kampung kita yang indah ini tetap dijaga keindahannya sampai bila-bila. Amin,” katanya.

Intipati
  • Seorang lelaki Indonesia memuji suasana kampung Malaysia yang bersih, rapi dan nyaman.
  • Dia menyebut amalan gotong-royong hujung minggu membantu menjaga kebersihan kawasan kampung.
  • Lelaki itu turut kagum melihat halaman rumah kampung yang luas dan menghijau.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan