Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi akui berasa 'sedikit sunyi atau mungkin sedih' selepas kakitangannya membunuh seekor lipas yang ditemui di kediaman rasminya.
Dalam satu hantaran di X, Takaichi, 65, berkata selepas berpindah ke kediaman rasmi, beliau membersihkan bahagian bawah meja makan, membuang sisa makanan ke dalam tong sampah yang kukuh dan bertutup serta mencuci dan mengasingkan bekas plastik.
Namun, beliau terkejut apabila pada suatu hari seekor lipas tiba-tiba berlari melintasi kakinya.
Ujarnya, beliau tidak membunuh serangga itu kerana sejak kecil terpengaruh dengan karya manga 'Firebird' oleh Osamu Tezuka yang mengangkat konsep kelahiran semula.
“'Firebird' menggambarkan idea bahawa semua kehidupan saling berkaitan dan boleh berubah bentuk dan karya itu memberi impak besar kepada saya sejak kecil,” katanya.
PM Jepun Akui Sunyi Dan Sedih Selepas Lipas Di Kediamannya Dibunuh

Jelasnya, mungkin kerana pengaruh itu, beliau sehingga dewasa tidak sanggup membunuh serangga termasuk lipas.
“Melihat lipas yang berlari di kediaman rasmi itu, saya terfikir, mungkin kehidupan ini juga sebahagian daripada kitaran kelahiran semula yang panjang,” katanya.
Susulan itu, Takaichi mengambil keputusan untuk membiarkan lipas tersebut buat sementara waktu sambil berharap ia akan keluar sendiri.
Bagaimanapun, selepas memaklumkan perkara tersebut kepada setiausahanya, kakitangannya terkejut dan segera mengambil tindakan.
“Tidak bersih. Saya akan uruskannya,” kata salah seorang setiausaha sebelum menjalankan operasi menghapuskan lipas itu.
Selepas itu, lipas tersebut tidak lagi muncul dan Takaichi mengakui berasa lega, namun pada masa sama sedikit sunyi atau mungkin sedih.
“Saya rasa lega, tapi pada masa yang sama sedikit sunyi atau mungkin sedih,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menjawab persoalan ramai jika dia pernah bertemu dengan hantu sejak tinggal di kediaman rasmi.
Takaichi berkata beliau tidak pernah berdepan pengalaman sedemikian dan hanya bertemu dengan lipas.
Sekadar info, Takaichi merupakan wanita pertama yang memegang jawatan Perdana Menteri Jepun dan dikenali kerana bekerja pada hujung minggu dan sehingga lewat malam.


